PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak ada masalah dengan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.
Menurutnya, beliau tidak melihat apa-apa masalah dengan menteri berkenaan.
“Dia hanya mahu menukar kasut hitam (untuk murid sekolah). Yang lain semua baik-baik saja,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Bersatu di ibu pejabatnya di Petaling Jaya hari ini.
Tahun lepas Maszlee dikritik kerana mencadangkan penggunaan kasut hitam menggantikan kasut putih untuk murid sekolah.
Bagaimanapun cadangannya mendapat tentangan selepas maklum balas daripada persatuan ibu bapa dan guru, murid dan pembekal kasut sekolah.
Kementerian merancang untuk memperkenalkan kasut sekolah berwarna hitam pada 2021 tetapi murid boleh mula menggunakan kasut itu dari tahun ini.
Maszlee juga mendapat kecaman kerana menjawab kritikan mengenai kuota matrikulasi dan mempertikaikan syarat fasih bahasa Mandarin oleh majikan.
Dr Mahathir berkata, hanya kerana Maszlee bercakap tentang bangsa lain tidak bermakna menteri berkenaan bersifat perkauman.
“Dalam parti, kami juga banyak bercakap tentang kaum. Dia bercakap tentang kaumnya seperti bagaimana orang Cina bercakap mengenai orang Cina, orang Melayu dengan Melayu dan orang Iban dengan Iban.
“Kita tidak boleh mempersoalkan kewarganegaraan kerana kita semua rakyat Malaysia,” katanya.
Kenyataan Maszlee mengenai kuota matrikulasi Bumiputera telah membangkitkan perdebatan awam mengenai peluang bangsa dan pendidikan.
Tetapi Dr Mahathir berkata adalah penting bagi kerajaan Pakatan Harapan untuk memenangi sokongan Bumiputera.
“Sekarang penting untuk mendapatkan sokongan mereka kerana Umno dan PAS telah bekerjasama serta menggunakan kaum dan agama untuk mendapatkan sokongan.
“Jika kita tidak menjelaskan pendirian terhadap isu perkauman, maka kita akan kalah dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya. – 28 Mei, 2019
Komen