PEGUAM Syazlin Mansor tiada sebab untuk tarik diri daripada mewakili keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim dalam prosiding inkues menentukan kematian anggota bomba itu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Jelas Dr Mahathir, apa yang jadi isu ialah peguam itu tidak boleh pada masa sama mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang sudah pun diwakili oleh Jabatan Peguam Negara sebagai peguam kerajaan.
“Peguam ini peguam keluarga Adib, lepas itu nak jadi peguam kerajaan. Macam mana boleh, tak bolehlah… sebab kerajaan nak tentukan sebab-sebab Adib meninggal dunia,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu di Petaling Jaya, petang tadi.
“Pihak yang memilih peguam itu tidak sedar dia ini juga jadi peguam keluarga Adib. Jadi bila sudah diketahui, dia mesti tarik diri daripada mewakili kerajaan.
“Dia patut teruskan menjadi peguam bagi pihak Adib. Tetapi dia tarik diri semua,” tambah Dr Mahathir.
Semalam, Syazlin memberitahu koroner beliau menarik diri daripada kementerian dan bomba, dan keluarga Adib.
Dr Mahathir juga berkata Peguam Negara sudah menjelaskan isu tersebut dan beliau meminta semua pihak agar tetap yakin pada sistem kehakiman Malaysia.
“Sekarang ini PM tak berkuasa lagi atas mahkamah. Kalau tak percaya pada mahkamah kita nak percaya pada siapa untuk buat keputusan?” tanya Dr Mahathir.
Hari ini, Peguam Negara Tommy Thomas menjelaskan empat alasan kenapa Syazlin tidak sepatutnya jadi peguam untuk kementerian dan pihak bomba.
Dalam penjelasan, Thomas berkata beliau sendiri terkejut apabila Syazlin juga tarik diri daripada jadi peguam keluarga Adib sedangkan tidak perlu berbuat demikian.
Beberapa badan dan pertubuhan kepentingan Melayu menuduh ada konspirasi di sebalik penarikan diri Syazlin. Mereka mendakwa kerajaan cuba melindungi sesuatu dan kononnya tiada keadilan untuk Adib.
Adib, anggota penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan dekat Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 November tahun lepas dan meninggal dunia pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara.
Kematiannya dibangkitkan dalam ceramah politik dan perhimpunan Melayu sejak beberapa bulan lalu dan dijadikan hujah untuk menyatukan sokongan Melayu untuk menentang kerajaan.
Menjawab gesaan agar Thomas dipecat, Dr Mahathir berkata tiada sebab untuk peguam negara dikenakan tindakan.
“Orang buat desakan tanpa sebab. Sebab yang ada ialah peguam ini mewakili kepentingan dua pihak bertentangan. Jadi dia kena letak jawatan daripada jadi peguam kepada kerajaan,” katanya.
Ditanya mengenai kedudukan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin yang setuju melantik peguam itu, Dr Mahathir bertanya balik, adakah perlu beliau pecat menteri itu.– 28 Mei, 2019
Komen