Tentera Thailand pergiat usaha buru suspek letupan bom di Pattani 


Pihak tentera Thailand akan meningkatkan kawalan keselamatan di Selatan Thailand.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2019

PIHAK tentera Thailand mempergiatkan usaha memburu suspek mendalangi serangan bom yang mengorbankan dua orang awam di sebuah pasar Ramadan di Pattani, semalam.

Dalam kejadian 4.15 petang (waktu tempatan), seorang remaja,14, dan seorang wanita, 35, maut manakala 22 lagi cedera, termasuk seorang kanak-kanak dua tahun dan empat orang  renjer yang sedang mengawal keselamatan di Pasar Ramadan di Pekan Bo Thong, Nong Chik, Pattani.

Ketua Tentera Bahagian Ke-4 Lt Jen Ponsak Poonsawat berkata pihak tentera Thailand akan meningkatkan kawalan keselamatan di Selatan Thailand.

Selain itu, beliau berkata operasi akan dilancarkan untuk menyekat pergerakan kumpulan anggota bersenjata selain menghapuskan “kampung merah” (kampung yang masih terdapat anggota kumpulan bersenjata)  yang dikenal pasti.

“Pasukan keselamatan sedang meneliti  rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian.

“Kumpulan yang mendalangi seerangan bom ini akan dibawa ke muka pengadilan dalam tempoh terdekat,” katanya pada satu sidang media di Pattani hari ini.

Setakat ini, dua daripada 22 mangsa yang cedera dilaporkan dalam keadaan kritikal manakala lapan lagi masih menerima rawatan di  hospital dan yang selebihnya telah dibenarkan pulang.

Sementara itu, pihak tentera mengesahkan anggota kumpulan bersenjata yang maut dalam insiden berbalas tembakan di Kampung Jak Tamae, Daerah Jaha, Yala semalam ialah Abdullah Lateh, 37, dan mempunyai tujuh waran tangkap pihak berkuasa Thailand.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari (waktu tempatan) semalam, beliau berkata pihak keselamatan Thailand mengepong sebuah rumah disyaki menjadi tempat bersembunyi anggota kumpulan bersenjata dan insiden berbalas tembakan itu berlanjutan sehingga 6 petang semalam.

Beliau berkata seorang pegawai polis dan dua renjer cedera dalam insiden itu.

Pihak tentera juga menahan pasangan suami isteri yang juga pemilik rumah tersebut untuk membantu siasatan. – Bernama, 28 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen