SEBUAH cawangan propaganda Korea Utara hari ini menyelar rancangan tentera Korea Selatan untuk membeli peluru berpandu daripada Amerika Syarikat (AS) dan menyifatkan langkah itu sebagai “cabaran secara terang-terangan” terhadap perjanjian antara Korea yang bertujuan mengurangkan ketegangan ketenteraan, lapor agensi berita Yonhap.
Pada awal bulan ini, Jabatan Negara AS memberi lampu hijau kepada kemungkinan penjualan peluru berpandu dari kapal ke udara SM-2 Block IIIB dan peralatan berkaitan yang bernilai US$313.9 juta kepada Korea Selatan dan meminta kelulusan kongres untuk pelan penjualan itu.
Menyifatkan langkah itu sebagai yang terkini dalam beberapa siri “tindakan provokatif” oleh “penghasut peperangan” Korea Selatan, Uriminzokkiri antara laman sesawang propaganda Korea Utara berkata, langkah sedemikian mengancam keamanan dan kestabilan Semenanjung Korea.
Media Korea Utara telah melemparkan kritikan terhadap tentera Korea Selatan hampir setiap hari dan pada masa sama mendakwa bahawa tindakan mereka melancarkan peluru berpandu jarak dekat ke arah Laut Timur sebagai sebahagian daripada latihan ketenteraan biasa.
Semalam, Korea Utara turut melabel Penasihat Keselamatan Negara AS John Bolton sebagai “manusia yang cacat” kerana mengecam langkah Korea Utara melancarkan peluru berpandu dan menyifatkannya sebagai satu pelanggaran terhadap resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – Bernama, 28 Mei, 2019.
Komen