UNDANG-UNDANG seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) Sosma dan Akta Pencegahan Jenayah (Poca) perlu dikaji semula untuk mengelak penindasan, kata Anwar Ibrahim.
Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat itu berkata undang-undang itu juga perlu membenarkan suspek diberi ruang untuk mempertahankan diri.
Katanya, kaukus itu maklum bahawa undang-undang itu dibuat untuk membendung individu yang berpotensi melakukan jenayah tetapi ia tidak boleh menindas.
Beliau memberi contoh penindasan itu seperti kes penahanan individu yang memakai baju dengan lambang kumpulan pengganas ISIS.
“Kita menyokong semua tindakan daripada polis untuk bertindak teas ke atas jenayah. Tetapi Sosma juga memperuntuk penahanan untuk aktiviti berkaitan seperti mengguna baju ISIS.
“Jadi kita pastinya mahu kawalan lebih rapi supaya pelaku kesalahan atau jenayah kecil tidak ditindas atau diletakkan dalam keadaan seperti itu. Undang-undang ini lebih tegas berbanding ISA,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kaukus itu di bangunan parlimen hari ini.
Di bawah Sosma, seseorang boleh ditahan sehingga 28 hari dan polis boleh menyekat suspek bertemu keluarga dan penasihat undang-undang sehingga 48 jam selepas ditangkap.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dan bekas pemimpin Umno Batu Kawan, Khairuddin Abu Hassan merupakan antara ratusan individu yang ditangkap di bawah akta ini.
Undang-undang berkenaan mendapat tentangan NGO seperti Suaram yang menutut agar ia dimansuhkan kerana membenarkan penahanan tanpa bicara. – 28 Mei, 2019.
Kaji semula Sosma, Poca elak penindasan, kata Anwar
Komen