PARTI Warisan Sabah (Warisan) nampaknya akan mendapat manfaat selepas pemimpin-pemimpin Parti Bersatu Sabah meninggalkan parti itu.
Kurang dari sehari selepas Ketua Bahagian Liawan yang juga Ketua Pemuda Jake Nointin mengumumkan peletakan jawatannya diikuti beberapa ratus lagi ahli, bekas ketua bahagian Egol Onsim Basintal (Membakut) juga mengumumkan keluar parti PBS.
Walaupun sumber mengatakan Jake akan menyertai parti Warisan, beliau bagaimanapun belum memberikan sebarang petunjuk ke mana arahnya selepas ini.
Sementara itu Onsim dan beberapa ratus bekas ahli PBS telah memohon menyertai parti yang dipimpin Shafie Apdal itu.
Menurut sumber dalaman PBS, cabang-cabang parti di bahagian selatan pantai timur Sabah dijangka akan turut meninggalkan parti tidak lama lagi.
“Pemimpin-pemimpin PBS sudah menjangkakan hal ini. Beberapa ketua bahagian dilihat menentang kepimpinan tertinggi parti,” katanya.
Naib Presiden Warisan, Junz Wong berkata tindakan pemimpin-pemimpin PBS meninggalkan parti adalah kerana dominasi Umno Sabah dalam hal-ehwal Barisan Nasional (BN) Sabah, termasuk pengagihan kerusi di kalangan komponen parti.
“Umno mengawal kebanyakan kerusi hanya salah satu faktor, tetapi mereka melihat perlunya bersatu sebagai rakyat Sabah di bawah pimpinan Shafie Apdal,” katanya.
Umno bertanding dalam 32 daripada 60 kerusi di Sabah dan selebihnya diberi kepada parti-parti komponen lain. PBS dibenarkan bertanding dengan 13 kerusi.
Awalnya, Warisan dikhabarkan akan membentuk pakatan pilihan raya bersama PBS tetapi rundingan itu gagal selepas Pemangku Presiden PBS Dr Maximus Ongkili berkata parti akan bersama BN.
Sementara itu, Maximus menolak peletakan jawatan Nointin dan cadangan bahagian Liawan dibubarkan. Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata Nointin meninggalkan parti kerana berhasrat menjadi calon.
“Kalau menyertai parti politik hanya kerana mahu jadi calon, maka PBS bukan untuk anda.
“Sama juga seperti semua parti politik, ada yang obses untuk jadi calon pilihan raya. Tapi, bilangan kerusi terhad, jadi semua perlu bersabar dan jalankan peranan dengan sewajarnya.
Beliau berkata Nointin dan pengikutnya masih belum menghantar surat peletakan jawatan mereka secara rasmi kepada PBS dan tambah beliau lagi, bahagian Liawan kini akan diletakkan di bawah seliaan setiausaha agung parti, Johnny Mositun. – 23 September, 2017.
Komen