Kegagalan Pakatan laksana pembaharuan undang-undang 'tidak beretika', kata Suaram 


Noel Achariam

Penasihat Suaram, Kua Kia Soong berkata tindakan PH untuk tidak meneruskan pemansuhan undang-undang menekan adalah tidak beretika dan menyimpang dari hak asasi manusia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 28 Mei, 2019

PAKATAN Harapan dilihat cuba melengahkan pembaharuan terhadap undang-undang menekan kerana politik perkauman, kata Suara Rakyat Malaysia (Suaram), dan menambah kini terpulang kepada kumpulan masyarakat sivil untuk menggesa pembaharuan ini. 

Penasihat Suaram, Kua Kia Soong berkata, tindakan PH mungkiri manifesto untuk membuat pembaharuan terhadap undang-undang yang menekan adalah tidak beretika dan menyimpang dari hak asasi manusia.

“Kumpulan hak asasi manusia perlu sentiasa berhati-hati dan berterusan dalam menggesa pembaharuan ini.

“Terdapat perjumpaan dengan masyarakat sivil tetapi tiada perubahan yang dijanjikan dalam pembaharuan undang-undang yang menindas,” kata Kua pada pelancaran laporan tahunan Suaram di Kuala Lumpur hari ini.

Kua merujuk kepada langkah Kabinet untuk melaksanakan moratorium ke atas undang-undang zalim termasuk Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia pada Oktober 2018, namun menarik balik pada Disember 2018 susulan rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di Selangor. 

“Memandangkan usaha oleh masyarakat sivil dalam menyumbang kepada pembaharuan institusi selepas PRU14, keputusan Perdana Menteri untuk tidak mendedahkan laporan Majlis Penasihat Kerajaan tidak dapat diterima.

“Undang-undang ini membenarkan penahanan tanpa bicara yang melanggar hak asasi manusia dan perlu dimansuhkan segera.”

Kua berkata ia termasuklah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota). 

Beliau berkata, Pakatan kini mempertimbangkan semula janjinya untuk memanuhkan beberapa undang-undang yang menimbulkan perdebatan termasuk Akta Hasutan 1948, Poca, Akta Universiti dan Kolej Universiti, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Majlis Keselamatan Negara (NSC) 2016. 

Menurut laporan, terdapat 182 tahanan Sosma dan 53 tahanan Poca pada 2018. 

Suaram menganggarkan jumlah keseluruhan penahanan yang dibuat di bawah undang-undang keselamatan sejak penubuhannya adalah 2,022 (Sosma), 3,641 (Poca) dan 28 (Pota).

Laporan itu menyatakan bahawa meskipun usaha awal untuk pembaharuan undang-undang keselamatan oleh pentadbiran baru, perkembangannya adalah terhad.

Laporan itu juga menyatakan penggunaan undang-undang ini hanya akan merosakkan integriti polis dan komitmen PH terhadap pembaharuan sistematik dan legitimasi sistem keadilan jenayah dan keberkesanannya dalam menangani jenayah terancang. – 28 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen