KERAJAAN perlu mempertimbangkan bayaran sagu hati kepada peneroka Felda untuk menyambut Hari Raya bagi meringkankan beban golongan itu, kata Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim.
Perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat yang berpendapat peneroka memerlukan wang sagu hati tersebut, katanya.
Tambahnya, walau Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali menegaskan peneroka tidak akan menerima bantuan Hari Raya, kaukus itu berpendapat sebaliknya.
Jelasnya, tinjauan yang dilakukan kaukus itu mendapati peneroka Felda berjumlah lebih 100,000 itu kini terbeban dengan masalah kewangan untuk menyambut Hari Raya.
“Kita faham kenyataan yang dibuat kerajaan khususnya Azmin kerana memang ada masalah (kewangan Felda) dan ada perbincangan untuk masa depan (Felda).
“Tetapi kita juga (buat tinjauan) ke bawah dan (dapati) kegelisahan itu benar.
“Orang hadapi masalah (kewangan) bulan Ramadan dan Raya. Jadi kalau fikir bolehlah dipertimbangkan, beri sedikit pun tidak apa jadi (peneroka) rasa ringan sedikit beban,” katanya.
Jumlah yang patut diberikan itu terserah kepada budi bicara kerajaan, katanya lagi kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kaukus itu di bangunan Parlimen hari ini.
Azmin pada minggu lalu menegaskan, kerajaan tidak berhasrat memberikan duit raya kepada peneroka Felda ekoran kedudukan semasa kewangan negara yang kurang memberangsangkan.
Katanya, kerajaan juga sedang memberi keutamaan agar pemberian insentif Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil dapat disalurkan kepada para peneroka sebelum Aidilfitri ini.
Azmin mengulas tuntutan Majlis Permuafakatan NGO Felda yang menuntut bantuan itu bagi membantu peneroka menghadpi kejatuhan harga komodit sawit dan peningkatan kos sara hidup.– 28 Mei, 2019
Komen