Guru di New Zealand lancar mogok


Ekoran mogok itu, 51 peratus sekolah di New Zealand akan ditutup pada Rabu. – Gambar AFP, 28 Mei, 2019.

GURU-GURU sekolah rendah dan menengah di seluruh New Zealand akan mengadakan mogok pada Rabu, mendesak kerajaan menangani krisis yang melanda sektor pendidikan, lapor agensi berita Xinhua.

Mogok yang disifatkan paling besar itu, membabitkan hampir 50,000 tenaga pengajar dari Institut Pendidikan New Zealand dan Persatuan Guru Pasca Sekolah Rendah. 

Lantaran itu, 51 peratus sekolah di New Zealand akan ditutup pada Rabu.

Presiden Institut Pendidikan New Zealand Lynda Stuart berkata, guru-guru mahu kerajaan mengutamakan untuk menangani krisis pendidikan.

“Beri ruang untuk mengajar, memimpin dan memastikan guru adalah pilihan kerjaya jangka panjang, penting bagi anak-anak mendapat pengajaran dan pembelajaran sebaiknya,” ujar beliau. 

“Tawaran diterima dari kerajaan tidak menangani isu yang dihadapi dalam kerjaya kami. Ia tidak akan membantu menangani krisis pendidikan yang semakin meningkat,” tambahnya. 

Tiga mogok telah diadakan di seluruh New Zealand sejak negara itu ditadbir oleh kerajaan campuran. 

Awal bulan ini, kerajaan menawarkan guru sekolah rendah dan menengah kenaikan gaji 1.2 bilion dolar New Zealand (AS$785.64 juta) bersama insentif lain.

Menteri Pendidikan, Chris Hipkins menyifatkan ia tawaran terbesar sejak sedekad. – Bernama, 28 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen