Pendaki gesa peraturan lebih ketat untuk panjat Everest


Pendaki Everest, Ameesha Chauhan sedang menjalani rawatan akibat reput fros di sebuah hospital di Kathmandu pada 27 Mei 2019. Beliau terselamat daripada kesesakan yang dialami pendaki di kemuncak tertinggi di dunia itu yang meragut 10 nyawa dalam tempoh dua minggu. – Gambar AFP, 28 Mei, 2019.

AMEESHA Chauhan, pendaki yang terselamat daripada “kesesakan lalu lintas” di Gunung Everest yang kini sedang beransur pulih akibat reput fros (frostbite) di hospital, berkata pendaki tanpa kemahiran asas perlu dihalang bagi mengelak berlakunya kematian yang tinggi.

Seramai 10 pendaki meninggal dunia dalam tempoh lebih kurang dua minggu selepas cuaca buruk mengurangkan bilangan hari untuk mendaki, menyebabkan mereka terpaksa menunggu lama untuk ke puncak sehingga berisko berdepan keletihan dan kehabisan oksigen.

Nepal mengeluarkan 381 permit Everest musim ini, dan beberapa ratus orang peserta tidak mendapat latihan betul, membuat keputusan kurang tepat dan merisikokan nyawa sendiri dan pemandu arah Sherpa, kata Chauhan.

Warga India berusia 29 tahun itu harus menunggu 20 minit untuk turun dari puncak setinggi 8,848 meter (29,029 kaki), tetapi yang lain memakan masa selama berjam-jam.

“Saya melihat beberapa pendaki tanpa kemahiran asas bergantung sepenuhnya kepada pemandu arah Sherpa mereka. Kerajaan perlu menetapkan kriteria kelayakan,” katanya kepada AFP di hospital umum Kathmandu, dengan semua jari kaki kiri berwarna biru hitam dan kulit muka dimakan hari.

“Hanya pendaki terlatih harus diberikan permit memanjat Everest.”

Sembilan pendaki mati di puncak Himalaya sepanjang 8,000 meter, sementara seorang lagi hilang.

Sekurang-kurangnya empat kematian di atas gunung tertinggi di dunia dipersalahkan susulan kesesakan dengan pasukan yang menunggu sehingga berjam lamanya di “zon maut” dengan kesejukan melampau, udara tipis dan rupa bumi sukar didaki.

Kematian Everest tahun ini adalah yang tertinggi sejak 2014 hingga 15 ketika gempa bumi besar mencetuskan longsoran yang dahsyat.

Kesesakan itu didedahkan dalam satu foto yang diambil minggu lalu oleh Nirmal Purja, bekas tentera Gurkha, yang menunjukkan barisan panjang pendaki menuju ke puncak.

Gambar oleh ketua badan amal Project Possible bertujuan untuk memanjat puncak setinggi 148,000 meter dalam tempoh tujuh bulan tular dari Twitter @nimsdai dan mengetengahkan bahaya ketika kegilaan memanjat Everest.

“Ramai pendaki kehabiskan oksigen,” kata Chauhan.

“Beberapa pendaki meninggal kerana kecuaian sendiri. Mereka berkeras untuk sampai ke puncak walaupun oksigen sudah habis, yang menyebabkan risiko terhadap nyawa sendiri,” katanya. – AFP, 28 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen