16 termasuk kanak-kanak cedera insiden tikam di Jepun


Pihak berkuasa di bandar Kawasaki, Jepun menerima panggilan pada jam 7.44 pagi memaklumkan 4 kanak-kanak sekolah rendah ditikam seorang lelaki. – Gambar EPA, 28 Mei, 2019.

SEKURANG-KURANGNYA 16 orang termasuk kanak-kanak, cedera pada Selasa dalam serangan bersenjata di bandar Kawasaki, selatan Tokyo, kata jabatan bomba tempatan.

“Seorang lelaki menikam mereka,” kata jurucakap Jabatan Bomba Kawasaki, Dai Nagase kepada AFP.

“Kami menerima panggilan kecemasan pada 7.44 pagi, yang mengatakan empat kanak-kanak sekolah rendah ditikam.”

Polis berkata, seorang suspek lelaki sudah ditahan. Stesen penyiaran awam NHK berkata lelaki itu menikam dirinya sendiri dan mengalami luka yang serius.

Dua bilah pisau juga dilihat di tempat kejadian, tetapi tiada pengesahan mengenainya secara rasmi.

Serangan itu berlaku di sebuah taman tidak jauh dari stesen kereta api tempatan, kata media.

Siaran rakaman di stesen TV tempatan menunjukkan beberapa kereta polis, ambulans dan bomba di tempat kejadian. Khemah perubatan kecemasan juga diletakkan untuk merawat mangsa yang cedera. – AFP, 28 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen