SEKURANG-KURANGNYA 42 banduan terbunuh dalam empat penjara di utara Brazil pada hari Isnin, kata pihak berkuasa, sehari selepas berlakunya keganasan di sebuah penjara yang menyebabkan 15 orang mati.
Semua mangsa kelihatan maut disebabkan “pengasfiksiaan” iaitu kekurangan oksigen dalam darah hingga menyebabkan kematian, kata kerajaan negeri Amazonas dalam satu kenyataan, selepas pertempuran terbaru menggemparkan sistem penjara yang terlalu ramai dan keganasan di negara ini.
Sekurang-kurangnya 27 mangsa ditemui di Penjara Antonio Trindade berhampiran Manaus, ibu negeri Amazonas, di mana kesemua empat penjara berada.
Kerajaan persekutuan menghantar bantuan untuk meningkatkan tahap keselamatan.
“Saya baru sahaja bercakap dengan menteri (kehakiman) Sergio Moro, yang menghantar pasukan intervensi penjara ke Amazonas supaya dapat membantu kami dalam krisis pada masa ini,” kata Gabenor Wilson Lima dalam kenyataan itu.
Walaupun keganasan maut berlaku dalam penjaranya, Lima menyatakan peningkatan tahap keselamatan mengurangkan “jumlah pembunuhan, rompakan.”
Siasatan yang dilancarkan ke dalam pembunuhan beramai-ramai di Kompleks Penjara Anisio Jobim diperluaskan termasuk kematian pada Isnin.
Empat daripada mereka yang terbunuh dalam keganasan terbaru ditemui di penjara Anisio Jobim, yang juga tempat kejadian pemberontakan penjara yang berlangsung hampir 20 jam dan menyebabkan 56 orang mati pada Januari 2017.
Lima lagi terbunuh di Pusat Tahanan Sementara untuk Lelaki dan enam orang mati di Unit Penjara Puraquequara.
Brazil mempunyai bilangan banduan ketiga terbesar di dunia, dengan 726,712 penghuni pada Jun 2016, menurut statistik rasmi.
Jumlah itu dua kali ganda daripada kapasiti penjara negara, yang pada tahun sama dianggarkan 368,049 penghuni.
Kerajaan persekutuan dijangka menambah 115,000 penghuni menjelang penghujung 2018, kata Human Rights Watch dalam satu laporan baru-baru ini. – AFP, 28 Mei, 2019.
Komen