KELANTAN akan menggandakan lagi program kesejahteraan rakyat apabila dapat wang royalti minyak dari Putrajaya, kata timbalan menteri besarnya Mohd Amar Nik Abdullah.
Katanya, perancangan pembangunan itu tidak pernah berubah, sudah dirancang sekian lama, sejak Nik Abdul Aziz Nik Mat masih menteri besar lagi.
“Kita telah banyak melaksanakan program untuk kesejahteraan rakyat setakat kemampuan yang ada pada kita.
“Sekiranya kita menerima bayaran royalti, semua program ini dapat ditingkatkan lagi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Kelantan menuntut royalti petroleum dari kerajaan pusat sejak 2009, atas hasil daripada tiga pelantar di perairannya yang diusahakan oleh Petronas. Sama seperti Terengganu, Kelantan sebelum itu antara 1999 dan 2004 menerima bayaran dalam bentuk wang ehsan daripada kerajaan persekutuan.
Pada Ogos 2010, Kelantan mengheret Petronas ke mahkamah bagi menuntut bayaran royalti minyak. Petronas dinamakan sebagai defendan tunggal.
Di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974, Kelantan sepatutnya menerima 5% daripada hasil minyak yang ditemui Petronas.
Kerajaan persekutuan kemudian membuat permohonan mencelah dan dinamakan sebagai defendan kedua.
Pada Mac lalu, kerajaan persekutuan mengumumkan akan membayar royalti petroleum kepada Kelantan selepas saman tersebut ditarik balik.
Minggu lalu, Amar berkata tiada alasan lagi untuk Putrajaya menangguhkan pembayaran royalti minyak kepada Kelantan kerana saman itu pada hakikatnya sudah selesai.
Kerajaan Kelantan juga tidak perlu memberitahu Putrajaya bagaimana ia mahu menggunakan duit itu apabila dibayar nanti kerana ia berhak melakukan apa saja perancangan demi kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan negeri akan tunggu dan lihat perjalanan kes ini,” katanya, menjawab soalan apa tindakan Kelantan sekiranya Putrajaya masih menangguhkan proses pembayaran royalti berkenaan.
Utamakan pendidikan
Sementara itu Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri Che Abdullah Mat Nawi berkata Kelantan sudah merancang lama apa yang ingin mereka lakukan dengan wang royalti minyak.
Katanya, sejak awal tuntutan itu lagi pimpinan negeri sudah setuju wang tersebut mesti disalurkan untuk agenda pembangunan negeri, terutamanya pendidikan.
“Yang kita ingin buat ialah bangunkan infrastruktur, pendidikan, kebajikan untuk rakyat… ada banyak seperti skim khas melahirkan anak, sumbangan anak masuk sekolah bagi pelajar sekolah rendah dan menengah.
“Kelantan ini bajet paling terbesar ialah pendidikan. Sebelum ini kita peruntukkan RM100 juta (untuk pendidikan) daripada belanjawan negeri yang tak sampai RM1 bilion pun,” katanya.

Kelantan mengumumkan Belanjawan 2019 sebanyak RM1.09 bilion dengan peruntukan RM110.5 juta bagi tujuan pendidikan.
Kelantan, dengan penduduk hampir 2 juta, adalah negeri dengan pendapatan paling rendah berbanding negeri lain berdasarkan kajian Keadaan Isi Rumah Ke-2 yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).
Menurut kajian itu, lebih 30% isi rumah di Kelantan berpendapatan kurang RM2,000 sebulan.
Menurut Che Abdullah, Kelantan mahu wang royalti minyak dimasukkan terus dalam belanjawan negeri dan bukannya di bawah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) seperti dilakukan ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN).
“Masa BN wang tersebut diletakkan di bawah JPP tapi kerajaan negeri tak iktiraf wang ehsan tersebut sebagai royalti minyak.
“Untuk kali ini kita mahu ia terus masuk dalam negeri, maksudnya dalam wang disatukan,” katanya.
Jelas beliau, tidak timbul isu pengagihan wang royalti yang tidak telus ia akan diaudit.
“Kalau masuk dalam kantung negeri, setiap perbelanjaan akan dibentangkan untuk diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ia juga akan diaudit,” katanya.
Selesaikan isu air
Bagi badan masyarakat Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK), wang royalti itu nanti diharapkan dapat diguna untuk menyelesaikan masalah air yang diibaratkan tiada kesudahan.
“Rakyat terus merintih dahaga menantikan perubahan kerana sudah lama menderita dengan masalah ini,” kata Yang Dipertua PPIK Dr Mohd Fared Abdul Ghani.
Beliau juga menegaskan selain isu bekalan air, kemudahan jalan raya dan sekolah tahfiz juga perlu diberi tumpuan termasuk baik pulih yang sedia ada.
Katanya, duit royalti itu sangat penting bagi memperkasakan program kebajikan rakyat negeri tersebut.
Prestasi Menteri Besar Ahmad Yaakob juga akan dipantau dan dinilai dari aspek pengendalian segala peruntukan daripada wang royalti minyak.
“Sudah tentu (dana itu) dapat menampung segala masalah kewangan untuk mentadbir negeri dan juga menjalankan aktiviti pembangunan untuk Kelantan sekaligus mendapat faedah kepada rakyat,” katanya. – 28 Mei, 2019.
Komen