KEPUTUSAN Putrajaya untuk berkongsi separuh kutipan cukai pelancongan daripada kerajaan negeri akan memberikan rangsangan diperlukan sektor pelancongan negara, kata pakar ekonomi.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan yang 50% cukai pelancongan persekutuan yang dikenakan kepada pelancong asing- pada masa kini berkadar RM10 sebilik semalam- akan dikembalikan sebagai perolehan negeri.
Felo Penyelidik Kanan Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) Dr Shankaran Nambiar berkata langkah itu mampu memberikan rangsangan industri pelancongan negeri.
“Menggalakkan pelancongan boleh memberi rangsangan kepada ekonomi dalam jangka pendek. Pada ketika kadar pertumbuhan perlahan, suntikan segera dana boleh menyaksikan sumbangan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK),” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pengarah Eksekutif Pusat Kajian Sosio-Ekonomi Lee Heng Guie, pula berkata langkah itu berkemungkinan besar tidak akan menjejaskan kewangan kerajaan kerana perolehan daripada cukai pelancongan adalah rendah.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan mengembalikan dana berjumlah RM 67.74 juta atau 50% kadar cukai dikutip negeri pada 2018 pada hujung Mac lalu.
Sabah adalah negeri dengan kutipan terbesar cukai pelancongan sebanyak RM25.34 juta pada 2018 dan menerima perolehan sebanyak RM12.67 juta.
Ini diikuti oleh Pulau Pinang yang mengutip RM21.97 juta dan menerima RM10.98 juta, manakala Selangor mengutip RM20.60 juta dan menerima RM10.30 juta.
Sarawak pula mengutip RM5.16 juta dan menerima RM2.58 juta.
Selain pemulangan separuh kutipan cukai pelancongan, Dr Mahathir juga mengumumkan Putrajaya memutuskan untuk menghapuskan pinjaman kerajaan negeri berjumlah RM3.8 bilion.
Katanya, pinjaman yang dibuat oleh negeri bermula daripada 2001 ke atas untuk projek bekalan air bersih di kawasan luar bandar akan dimansuhkan tertakluk kepada penstrukturan semula aset air dilakukan negeri menjelang 31 Disember 2019.
Dr Nambiar berkata langkah itu akan membantu kerajaan negeri meneruskan proses penstrukturan semula aset.
“Penstrukturan aset industri air sudah lama tertangguh. Objektifnya adalah untuk mencapai industri ‘aset ringan’.”
“Walaupun langkah itu mungkin akan dilihat membebankan kewangan fiskal kerajaan persekutuan, ia sebenarnya membantu kerajaan negeri dengan rancangan mereka menstrukturkan semula aset air. Negeri akan hilang beban kewangan dan pengguna akan dapat manfaat daripada air berkualiti tinggi.
“Apa yang lebih penting adalah kawasan luar bandar jadi sasaran, menunjukkan kebimbangan kerajaan negeri terhadap kumpulan penduduk di kawasan itu.”
Lee, bagaimanapun berkata, butiran lebih lanjut diperlukan bagi mengetahui sama ada hutang itu akan dihapuskan sekaligus atau beransur-ansur. – 27 Mei, 2019.
Komen