Kemarau di Yunnan jejas pengeluaran gula 


Yunnan telah menyaksikan kira-kira 99,893 hektar tebu terjejas akibat kemarau teruk.– Gambar EPA, 27 Mei, 2019

KEMARAU berterusan di barat daya Wilayah Yunnan, China telah menyebabkan pengeluaran gula merosot tahun ini, lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan jabatan industri dan teknologi maklumat pada Ahad.

Sebagai antara kawasan penanaman tebu utama di China, Yunnan telah menyaksikan kira-kira 99,893 hektar tebu terjejas akibat kemarau teruk, yang menyumbang kira-kira 35 peratus daripada jumlah keseluruhan kawasan penanaman tebu di wilayah itu.

Wilayah itu telah menyaksikan jumlah hujan berkurangan dan suhu yang semakin tinggi sejak musim bunga.

Kira-kira 84,460 hektar tebu mengalami kerosakan ringan manakala 13,006 hektar lagi rosak teruk. Kira-kira 2,420 hektar musnah sepenuhnya.

Persatuan Gula Wilayah Yunnan menganggarkan bahawa pengeluaran tebu Yunnan akan berkurangan sebanyak 2.23 juta tan manakala pengeluaran gula merosot lebih 280,000 tan.

Pendapatan peladang tebu akan berkurangan hampir 1 bilion yuan (kira-kira AS$145 juta).

Kemarau sedang melanda dan dijangka mendatangkan lebih banyak kerosakan. – Bernama, 27 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen