KERAJAAN Pakatan Harapan bersetuju untuk berkongsi hasil cukai pelancongan dan menghapus kira-kira RM3.8 bilion pinjaman yang terhutang oleh pelbagai negeri, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Walaupun cukai pelancongan adalah untuk kerajaan persekutuan, kami bersetuju untuk memberikan kembali 50% dari cukai yang dikumpulkan dari setiap negeri,” katanya, setelah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara kedua di Putrajaya hari ini antara kerajaan persekutuan dan negeri untuk membincangkan masalah pengurusan kewangan.
“Negeri boleh gunakan pendapatan ini untuk mempromosi dan memasarkan pelancongan dan menyelenggara infrastruktur pelancongan di negeri mereka,” tambahnya.
Perdana menteri berkata, Putrajaya juag bersetuju untuk menghapuskan RM3.8 bilion pinjaman yang dibuat oleh negeri untuk membekalkan air bersih ke kawasan luar bandar.
“Kami akan menghapuskan pinjaman yang diambil oleh negeri-negeri yang berlainan untuk membekalkan air bersih ke kawasan luar bandar sejak tahun 2001 dan seterusnya.
“Ini adalah dengan syarat bahawa penyusunan semula aset air negara selesai pada 31 Disember 2019,” kata Dr Mahathir. – 27 Mei, 2019
Komen