SEKURANG-KURANGNYA 10 orang cedera selepas sebutir bom yang dipasang di sebuah bas penjawat awam meletup di ibu kota Afghanistan pada Isnin, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang pegawai keselamatan.
“Sebutir bom yang dipasang di sebuah bas mini yang membawa kakitangan Kementerian Haji dan Hal Ehwal Agama telah diletupkan di kawasan kejiranan Baraki, Daerah Polis 2 di ibu kota pada kira-kira pukul 7.45 pagi waktu tempatan.
“Maklumat awal mendapati 10 orang yang menaiki bas itu telah mengalami kecederaan,” kata pegawai polis itu yang mahu identitinya dirahsiakan.
Butiran lanjut akan diumum kepada orang ramai kerana siasatan sedang berlangsung bagi mencari lebih banyak maklumat berkaitan insiden itu, kata sumber.
Letupan itu telah memusnahkan bahagian depan bas manakala semua kaca pecah berderai.
Pasukan keselamatan telah menyita kawasan itu sebagai langkah berjaga-jaga.
Mangsa yang cedera telah dikejarkan ke hospital berhampiran oleh ambulans dan kenderaan polis.
Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu setakat ini. – Bernama, 27 Mei, 2019.
Komen