LEBIH 600 orang yang menjalani ujian HIV disahkan positif pada Ahad yang kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak di sebuah bandar di wilayah selatan Sindh, Pakistan.
Kebimbangan meningkat selepas ratusan orang didakwa dijangkiti oleh doktor menggunakan jarum tercemar di bandar Rato Dero dan kampung sekitar daerah Larkana.
“Sebanyak 681 orang, dengan 537 daripadanya kanak-kanak berusia dua hingga 12 tahun, diuji positif untuk HIV sehingga kelmarin di Rato Dero,” kata penasihat kesihatan khas Zafar Mirza memberitahu sidang akhbar di Islamabad.
Beliau berkata 21,375 orang disaring di Rato Dero, sambil menambah “peningkatan jumlah pesakit yang diuji positif HIV adalah perkara serius bagi kerajaan”.
Mirza berkata, “penggunaan jarum yang tidak selamat mungkin menjadi salah satu punca penyebaran penyakit itu tetapi kerajaan sedang melakukan segala yang mampu untuk menentukan sebab yang tepat”.
“Perdana Menteri Imran Khan akan memperkenalkan langkah drastik untuk mencegah penyakit ini apabila kita mengenal pasti punca penyebaran penyakit.”
Ibu bapa di kawasan itu bimbang mengenai masa depan anak mereka terjejas selepas diserang HIV, terutama di negara yang ramai orang miskin di pedalaman kurang memahami penyakit atau akses kepada rawatan.
Pakistan sekian lama dianggap sebagai negara mempunyai kes rendah bagi HIV, tetapi penyakit ini berkembang pada kadar membimbangkan, terutama di kalangan penagih dan pekerja seks.
Dengan kira-kira 20,000 jangkitan HIV baru dilaporkan pada 2017 sahaja, Pakistan kini mempunyai angka HIV kedua paling pesat berkembang di seluruh Asia, menurut PBB.
Penduduk Pakistan yang semakin meningkat juga mengalami beban tambahan tidak cukup akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti berikutan sejak berdekad lamanya kurang peruntukan oleh kerajaan, menyebabkan penduduk kampung yang miskin, terdedah kepada pengamal perubatan tidak berkelayakan. – AFP, 27 Mei, 2019.
Komen