30 maut, puluhan hilang nahas bot di Congo


Pengangkutan sungai paling biasa digunakan di DR Congo dengan banyak laluan airnya. Kemalangan bot sering berlaku disebabkan terlebih muatan. – Gambar EPA, 27 Mei, 2019.

SEKURANG-KURANGNYA 30 orang maut dan puluhan lain hilang selepas kemalangan bot semalam di sebuah tasik di barat Republik Demokratik Congo, kata seorang datuk bandar tempatan.

“Setakat ini, kami sudah menemui 30 mayat - 12 wanita, 11 kanak-kanak dan tujuh lelaki,” kata Datuk Bandar Inongo, Simon Mbo Wemba kepada media, termasuk AFP, sambil menambah terdapat lebih 350 penumpang di atas kapal itu, dengan hanya 183 orang terselamat.

Kejadian berlaku pada malam Sabtu di Tasik Mai-Ndombe.

“Angka itu hanya sementara,” katanya sambil menambah sukar untuk mengetahui jumlah penumpang yang tepat kerana kebanyakan penumpang kemungkinan terdiri daripada pendatang tanpa izin.

Pengangkutan sungai paling biasa digunakan di DR Congo dengan banyak laluan airnya. Kemalangan bot sering berlaku disebabkan terlebih muatan.

Kebiasanyannya ia melibatkan jumlah kematian yang ramai kerana tiada jaket keselamatan dan mangsa tidak tahu berenang.

Bulan lepas, sekurang-kurangnya 167 orang maut dalam dua insiden, menyebabkan Presiden Felix Tshisekedi menetapkan mandatori bagi penumpang bot mempunyai pelampung keselamatan.

Seramai 27 orang dilaporkan lemas dalam kejadian bot karam pada September lalu, 26 orang pada Julai lepas, 50 orang lagi pada Mei lalu, dan pada April tahun lepas seramai 40 orang, apabila bot karam ketika mereka menyelamatkan diri. – AFP, 27 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen