Tuntutan pihak ke-3 lewat, klinik berdepan situasi sukar, kata pengamal


Ragananthini Vethasalam

Doktor yang enggan namanya didedahkan mendakwa tuntutan beliau yang belum dijelaskan dengan dua TPA setakat ini telah terkumpul sebanyak RM24,000. Bagaimanapun, kedua-dua syarikat itu jatuh bangkrap, menyebabkan pihak penuntut tiada pilihan lain melainkan terpaksa menanggung sendiri kos tanggungan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2019.

PENANGGUHAN pembayaran dan proses tuntutan oleh pentadbir pihak ketiga (TPA) menyebabkan aliran tunai klinik swasta terganggu, kata pengamal swasta.

TPA atau lebih dikenali sebagai Organisasi Penjagaan Terurus (MCO), adalah orang tengah yang disenaraikan oleh korporat untuk mengendalikan pembayaran bil kesihatan para pekerja mereka.

Doktor yang enggan namanya didedahkan mendakwa tuntutan beliau yang belum dijelaskan dengan dua TPA setakat ini terkumpul sebanyak RM24,000.

Bagaimanapun, kedua-dua syarikat itu jatuh bangkrap, menyebabkan pihak penuntut tiada pilihan lain melainkan terpaksa menanggung sendiri kos tanggungan itu.

Sumber daripada industri perubatan memberitahu The Malaysian Insight bahawa bayaran lewat atau tidak berjadual oleh TPA sering berlaku.

Selain tidak membayar kepada klinik jumlah sekali gus bil kesihatan pesakit dalam tempoh yang ditetapkan, sesetengah TPA membayar klinik secara berperingkat dalam jumlah yang kecil.

“TPA dan MCO sengaja melambatkan pembayaran. Sebagai contoh, jika jumlah bil kesihatan adalah RM1,200 dan sebaik sahaja kos lain dimasukkan, dan jumlah pembayaran yang terhutang secara total RM1,060. Namun, mereka tidak membayar jumlah itu secara sekaligus.

“Kadang-kala anda menerima RM120, waktu lain pula anda dapat RM400. Bagaimana hendak bertahan untuk menampung kos?

“Selain itu, kita juga bimbang bagaimana kalau TPA tutup?”

Klinik tertakluk kepada bayaran antara RM2,500 hingga RM5,000 supaya mereka dapat dimasukkan ke dalam senarai klinik panel.

“Terdapat kes di mana TPA mengenakan bayaran sebanyak RM2 hingga RM5 seorang sebagai yuran panel. Mereka juga menetapkan yuran konsultasi antara RM10 hingga RM15,” jelasnya lagi.

Doktor juga turut mengadu kos konsultasi yang rendah menyebabkan mereka hanya dapat sedikit sahaja keuntungan sebaik sahaja kos operasi diambil kira.

Sumber itu mendakwa penyakit dan preskripsi yang diperlukan sudah ditentukan terlebih dahulu dalam sistem pemprosesan tuntutan.

Klinik juga dikenakan caj pemasangan dan bayaran bulanan oleh TPA untuk sistem tuntutan.

Justeru, doktor terbatas untuk memberi khidmat terbaik kepada pesakit mereka.

Kakitangan TPA juga sering membuat lawatan mengejut di klinik untuk pemeriksaan.

Disebabkan lawatan mengejut itu, klinik berisiko digantung perkhidmatan jika didapati terdapat ubatan yang didiskripsi kepada pesakit tidak termasuk dalam senarai ditetapkan, kata sumber itu lagi.

“Kadang-kala terdapat surcaj jika ada masalah teknikal dalam sistem. Jika klinik mempunyai cawangan, ia hanya boleh mendaftar salah satu daripadanya.

“TPA dan MCO ini jahat. Mereka ambil untung daripada klinik dan syarikat klien yang mendaftar kepada mereka bagi perkhidmatan panel.

“Klinik pula dibebani pelbagai caj hanya untuk tersenarai dalam klinik panel,” kata pakar perubatan yang menyatakan ketidakpuasan hati beliau.

Sesetengah klinik terpaksa berhempas-pulas kerana mereka terikat kontrak jangka panjang dengan TPA dan MCO.

Sumber itu mendakwa klinik swasta dilihat menghadapi tekanan daripada TPA yang mempunyai kaitan dengan kerajaan.

Menurut Persatuan Doktor Islam Malaysia (Perdim), peningkatan kos operasi memaksa doktor dalam amalan swasta menutup klinik mereka, dengan kadar sewa dan kos pembelian ubat-ubatan yang semakin meningkat sehingga mengambil sebahagian besar perbelanjaan mereka secara keseluruhan.

Terdapat sekurang-kurangnya 500 klinik swasta di seluruh negara yang ditutup sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan banyak lagi klinik dijangka akan melakukan perkara yang sama jika tiada penyelesaian untuk masalah tersebut. – 27 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen