Kos operasi meningkat, banyak klinik swasta terpaksa ditutup


Ragananthini Vethasalam

Klinik di bandar besar merasakan tekanan peningkatan kos operasi berbanding di bandar kecil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2019.

KOS operasi yang meningkat secara mengejut memaksa pengamal perubatan swasta mula menutup klinik kerana tidak mampu menanggung kos sewa dan pembelian stok ubat-ubatan yang menjadi kos terbesar dalam perbelanjaan mereka, kata Presiden Persatuan Doktor Islam Malaysia (Perdim) Dr Ahmad Shukri Ismail.

Beliau mendedahkan terdapat sekurang-kurangnya 500 klinik swasta di seluruh negara ditutup sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan lebih banyak klinik dijangka akan turut memilih keputusan yang sama jika tiada penyelesaian untuk masalah ini.

“(Kos) Sewa meningkat sebanyak hampir 100% manakala bil utiliti pula naik sebanyak 50%,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bagi kos ubat-ubatan, harga produk generik meningkat sebanyak 45% manakala produk yang dipatenkan meningkat sebanyak 60%.

Beliau turut berkata, kos penyelenggaraan peralatan perubatan pula meningkat sebanyak 35% manakala gaji kakitangan pula meningkat sebanyak 60%.

“Peningkatan sewa dan ubatan menambah tekanan kepada operasi (klinik),” kata Shukri.

Beliau berkata, seperti dijangkakan pihaknya, klinik di bandar besar merasakan tekanan tersebut berbanding yang beroperasi di bandar kecil.

Bagi doktor kanan yang lama di dalam perniagaan, ramai yang memilih sama ada mengendalikan klinik secara usaha sama atau menjual perniagaan mereka.

Memandangkan kos yang meningkat, banyak pesakit memilih menerima rawatan daripada kemudahan pusat kesihatan yang dikelola kerajaan.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad baru-baru ini mengatakan kerajaan akan mengawal harga ubat melalui Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan (PCAP) untuk memastikan ia kekal dengan harga mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah.

Mekanisme ini akan melibatkan pelaksanaan harga siling untuk ubat-ubatan.

Kajian Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) 2016 mengenai Ekonomi Kesihatan Pengamal Am di Malaysia: Trend, Cabaran dan Bergerak Ke Hadapan mendapati kira-kira 500 klinik menutup operasi antara tahun 2014 dan tahun yang ditinjau.

Kajian yang meliputi 1,800 pengamal perubatan am itu menyatakan kos operasi klinik di kawasan bandar dianggarkan antara RM50,000 hingga 60,000 sebulan.

Ia menyebut penurunan keuntungan menjadi penyebab penutupan operasi, dengan kira-kira 70% daripada responden mengatakan klinik mereka hanya didatangi 30 orang pesakit secara purata untuk sehari. – 27 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen