Aktivis Pashtun bertembung tentera Pakistan, tiga terbunuh


Gerakan Perlindungan Pashtun (PTM) sering menjadi ancaman kepada pihak tentera sejak tampil awal tahun lalu dengan seruan menamatkan penindasan yang didakwa dilakukan oleh pasukan keselamatan menyasarkan etnik Pashtun di kawasan bergolak di sempadan Afghanistan. – Gambar EPA, 26 Mei, 2019.

TIGA aktivis daripada gerakan hak asasi manusia terbunuh pada Ahad ketika mereka bertempur dengan tentera Pakistan di kawasan sempadan Afghanistan, kata tentera.

Gerakan Perlindungan Pashtun (PTM) sering menjadi ancaman kepada pihak tentera sejak tampil awal tahun lalu dengan seruan menamatkan penindasan yang didakwa dilakukan oleh pasukan keselamatan menyasarkan etnik Pashtun di kawasan bergolak di sempadan Afghanistan.

Mohsin Dawar dan Ali Wazir, yang merupakan anggota parlimen, mengetuai kumpulan itu menyerang sebuah pos pemeriksaan di Boyya, sebuah daerah puak Waziristan Utara untuk “memberi tekanan supaya pihak berkuasa membebaskan seorang pemudah cara yang disyaki pengganas,” kata tentera dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu turut berkata lima anggota tentera mengalami kecederaan selepas kumpulan itu memulakan tembakan.

“Bertindak membalas serangan, tiga individu yang menyerang pos pemeriksaan itu terkorban sementara 10 yang lain cedera,” katanya.

“Ali Wazir bersama-sama dengan lapan individu telah ditangkap manakala Mohsin Javed (Dawar) masih bebas selepas menghasut orang ramai,” kata kenyataan itu.

Waziristan Utara, yang pernah dibelenggu kawalan militan dan beberapa pergolakan, adalah kawasan yang dipercayai Washington bahawa ia adalah tempat Pakistan menyediakan kawasan selamat buat kumpulan militan termasuk Taliban Afghanistan dan Rangkaian Haqqani.

Tentera telah melakukan pelbagai operasi di rantau ini, dan keselamatan di kawasan tersebut dan di seluruh Pakistan kini semakin meningkat secara dramatik sejak tahun-tahun kebelakangan ini. – AFP, 26 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen