PKR akan jumpa SPR, Bersih 2.0 bincang pembaharuan pilihan raya


Ragananthini Vethasalam

Pertemuan PKR dengan SPR dan Bersih 2.0 akan diadakan secara berasingan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2019.

PKR akan bertemu dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pemantau pilihan raya Bersih 2.0 bagi berkongsi pandangan dan berbincang mengenai proses pembaharuan pilihan raya, kata presiden parti Anwar Ibrahim.

Pertemuan dengan SPR dan Bersih 2.0 akan diadakan secara berasingan.

Anwar berkata amat penting untuk menjelaskan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan pada pilihan raya bagi mengelak kekeliruan.

Ini kerana kata beliau masih terhadap peraturan yang kurang jelas terutamanya melibatkan kempen dalam kalangan menteri.

“Apaa yang lebih penting adalah tiada penyalahgunaan kuasa terutamanya melibatkan penggunaan aset kerajaan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Kepimpinan Pusat PKR.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut mengakui bahawa proses pembaharuan pilihan raya tidak mencapai tahap yang sepatutnya.

Pada 15 Mei, Anwar membangkitkan tentang keperluan bagi prosedur yang jelas dan adil untuk membolehkan menteri berkempen pada pilihan raya semasa waktu pejabat.

Beliau berkata demikian selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menggesa SPR untuk meneliti semula larangan menteri berkempen pada waktu pejabat.

Dalam perkara lain, biro politik dan kepimpinan pusat PKR akan mula membuat persediaan jentera bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Anwar berkata pilihan raya Sarawak yang akan diadakan pada 2021 akan menjadi medan pertama.

Menteri Kerja Raya dan Ahli Parlimen Selangau Baru Bian akan mengetuai jentera pilihan raya negeri itu.

Beliau akan dibantu oleh rakan-rakan dari peringkat pusat termasuk setiausaha agung parti, Saifuddin Nasution dan dua timbalan presiden Chua Tian Chang dan Dr Xavier Jeyakumar.

“Mereka akan ditugaskan untuk membangunkan strategi dan bekerjasama dengan parti komponen (Pakatan Harapan) bagi membentuk jentera pilihan raya yang berkesan,” kata Anwar. – 26 Mei, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen