PBB tolak tuduhan berat sebelah presiden Yaman


Antonio Guterres menafikan pihaknya bersikap tidak adil terhadap pemerintah Yaman. – Gambar EPA, 26 Mei, 2019.

SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberi jaminan kepada pemimpin Yaman bahawa badan dunia itu akan tetap bersikap adil dalam usaha menyelesaikan konflik negara itu, beliau menolak tuduhan bahawa wakil khas yang diutus PBB berpihak kepada pemberontak.

Ikrar tersebut dinyatakan dalam sebuah surat daripada Guterres kepada Presiden Abedrabbo Mansour Hadi, yang menuduh utusan khas PBB ke Yaman tersebut bersikap tidak adil.

“Saya ingin beri jaminan bahawa setiap usaha akan dibuat untuk mengekalkan sikap adil yang diharapkan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” ketika melaksanakan perjanjian gencatan senjata di rantau itu, kata Guterres dalam surat yang dilihat AFP pada hari Ahad.

Dalam surat yang ditujukan kepada Guterres, Hadi menuduh utusan khas PBB Martin Griffiths “memberikan jaminan kepada puak Huthi untuk kekal di Hodeida dan pelabuhan-pelabuhan yang dikawal PBB”.

“Saya tidak lagi boleh menerima perkara salah ini yang dilakukan utusan khas anda di mana ia mengancam peluang-peluang untuk mencari penyelesaian (berkekalan),” kata Hadi.

Hodeida adalah kawasan pelabuhan dan tempat masuk utama bagi sebahagian besar barangan import dan bantuan kemanusiaan ke Yaman, ia menyediakan bekalan kepada jutaan rakyat negara itu.

Awal bulan ini, PBB menyelia penyerahan kembali pelabuhan Hodeida oleh puak pemberontak kepada “pengawal pantai”, tetapi kerajaan mengatakan pemberontak tersebut sebenarnya adalah pasukan Huthi dalam pakaian seragam yang berbeza.

Penyerahan kembali wilayah itu adalah selaras dengan perjanjian gencatan senjata untuk Hodeida yang dicapai di Stockholm pada bulan Disember. – AFP, 26 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen