PEMIMPIN Iraq memberi amaran tentang risiko berlaku peperangan sewaktu lawatan Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif, yang ketika ini mempunyai hubungan tegang dengan Amerika Syarikat (AS).
Lawatan Zarif ke Iraq - yang merupakan sekutu Amerika Syarikat dan Iran - adalah susulan keputusan Washington yang mengerahkan 1,500 tentera tambahan ke Timur Tengah.
Perdana Menteri Iraq Adel Abdel Mahdi memberi amaran risiko “tercetusnya bahaya peperangan” semasa pertemuan dengan Zarif pada malam Sabtu, kata satu kenyataan dari pejabatnya.
Abdel Mahdi mengakui pihaknya mahu menjaga “kestabilan rantau ini dan berpegang dengan perjanjian nuklear,” katanya yang merujuk perjanjian 2015 antara Tehran dan kuasa-kuasa besar.
Presiden Iraq Barham Saleh turut berbincang dengan Zarif mengenai “keperluan untuk mencegah semua peperangan atau risikonya,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada hari Sabtu Zarif menyeru kerahan tentera AS tambahan ke rantau tersebut “sangat berbahaya dan merupakan ancaman kepada keamanan dan keselematan antarabangsa.”
Kerahan tentera tambahan itu adalah susulan keputusan AS pada awal Mei untuk menghantar kapal pembawa pesawat udara dan pengebom B-52 sebagai reaksi terhadap apa yang dipercayai pemimpin Washington bahawa Iran sedang merancang untuk menyerang aset-aset milik AS.
Washington berkata, bantuan terkini tersebut adalah tindak balas terhadap “kempen” serangan baru-baru ini termasuk roket yang dilancarkan ke Zon Hijau di Baghdad, alat peledak yang merosakkan empat kapal tangki berhampiran pintu masuk ke Teluk, dan serangan dron oleh pemberontak Yaman terhadap saluran paip minyak utama milik Saudi.
Iran bagaimanapun menafikan sebarang penglibatan. – AFP, 26 Mei, 2019.
Komen