10 maut gas bocor di China


Seramai 10 maut dan 19 orang lain cedera dalam kejadian kebocoran gas kapal kargo yang berlaku pada jam 4 petang di Pelabuhan Longyan di Weihai, wilayah timur Shandong pada Sabtu. – Gambar EPA, 26 Mei, 2019.

SEKURANG-KURANGNYA sepuluh maut dan 19 orang cedera selepas karbon dioksida bocor daripada sistem pencegahan kebakaran kapal kargo di timur China, kata pegawai tempatan pada Ahad.

Kebocoran gas berlaku pada jam 4 petang (0800 GMT) Sabtu di Pelabuhan Longyan di Weihai, wilayah timur Shandong, kata pihak berkuasa tempatan melalui akaun resmi Weibo seperti Twitter.

Mereka yang cedera menerima rawatan dan dalam keadaan stabil, kata kenyataan itu.

Kapal kargo itu dimiliki Fujian Shipping Company dan sedang dibaiki apabila kebocoran gas berlaku.

Siasatan awal mendapati kemalangan itu disebabkan prosedur yang salah oleh kru kapal.

Pihak polis tempatan menahan “kakitangan berkaitan” dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Insiden melibatkan kimia yang membawa maut biasa berlaku di China, susulan lemahnya penguatkuasaan peraturan keselamatan.

Bulan lalu, sepuluh orang mati lemas terhidu gas di sebuah firma farmasi besar China di wilayah Shandong.

Pada Mac, satu letupan kimia di wilayah timur Jiangsu membunuh 78 dan menyebabkan ratusan cedera dalam salah satu kemalangan industri paling buruk di negara ini dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada November, kebocoran gas di loji di bandar China utara Zhangjiakou - yang akan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 - mengorbankan 24 nyawa dan mencederakan 21 yang lain. – AFP, 26 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen