HANYA sebulan sebelum kehilangan misterinya, aktivis sosial Amri Che Mat, ialah seorang individu yang gembira.
Dia dan pasukannya daripada organisasi persatuan sivil Perlis Hope baru saja selesai membina rumah kecil untuk warga emas di Kampung Tengah Sungai Padang, Perlis, negeri paling utara di Semenanjung Malaysia.
Rakan rapatnya dan sukarelawan di Perlis Hope, Mohd Aizat Zahid berkata Amir gembira kerana dia dapat membina rumah untuk seseorang yang amat memerlukan.
“Selepas itu, dia jadi lebih bersungguh-sungguh menjalankan lebih banyak projek seperti itu,” kata Aizat kepada The Malaysian Insight.
Amir sudah lama melakukan kerja amal atau membantu golongan miskin. Dia mengasaskan Perlis Hope pada 17 Oktober, 2015 dengan matlamat membantu orang miskin dan golongan memerlukan.
Sehingga hari ini, mereka masih meneruskan pemberian 10kg beras setiap bulan kepada 180 keluarga di negeri itu dan membuat lawatan di kawasan perumahan miskin untuk melihat keadaan kehidupan mereka serta menawarkan bantuan seperti membawa warga emas dan orang sakit ke hospital.
Bersama dengan kira-kira 1,000 sukarelawan, termasuk Cina dan India, Perlis Hope juga pernah bekerjasama dengan persatuan lain dalam pelbagai projek kemasyarakatan di negeri kecil Perlis yang hanya mempunyai populasi 250,000.
Bagaimanapun, Aizat berkata pihak berkuasa agama negeri itu tidak begitu gembira dengan Perlis Hope. Organisasi bukan kerajaan itu dituduh menyebarkan ajaran Syiah.
“Orang di Baitulmal marah bila cerita kami jadi viral kerana nampak seperti mereka tidak buat kerja dengan sempurna.
“Kami tidak pernah mengadakan aktiviti keagamaan. Kami bukan NGO berasaskan agama. Kami hanya mahu bantu orang miskin dan jadi platform untuk sukarelawan menyumbang semula kepada masyarakat,” katanya.
Tidak banyak yang diketahui mengenai Perlis Hope, hinggalah Amri hilang. Aktivis sosial berusia 43 tahun itu hilang pada 24 November, 2016.
Amri yang juga sebahagian daripada pasukan ekspedisi Gunung Everest Malaysia 1997, dilaporkan memberitahu anak perempuan sulungnya yang dia hendak keluar pada malam itu.
Isterinya, Norhayati Ariffin, 43, yang membuat laporan polis keesokan harinya berkata terdapat beberapa kereta dan motosikal diletakkan berhampiran rumah mereka ketika suaminya keluar dari rumah. Lampu semua kenderaan itu terpadam walaupun ada orang di dalam kereta dan di atas motosikal.
Kereta Amri ditemui kira-kira 20km dari rumahnya, berhampiran sekolah sukan terbengkalai.
Norhayati berkata suaminya tidak menerima sebarang panggilan ugutan dan tidak ada transaksi ganjil di akaun banknya.
Amri ada empat anak perempuan berusia 19, 17, 15 dan 10 tahun.
Aizat berkata kali terakhir dia bertemu Amri ialah dua hari sebelum kehilangannya.
“Dia tidak pernah terbabit dengan pergaduhan, itu bukan cara dia. Dia hanya hendak tolong orang,” kata Aizat.
Beliau berharap Perlis Hope juga bekerjasama dengan polis dengan memberikan dokumen berkaitan kerja Amri.
“Dari hari pertama, kami beri polis semua maklumat, termasuk butiran kewangan Perlis Hope, senarai sukarelawan kami, semuanya kerana kami tidak ada apa-apa hendak disembunyikan.
“Pada masa ini, kami menghentikan semua projek besar kerana perlu fokus dalam mencari Amri. Tetapi kami akan terus memberi beras kepada keluarga miskin kerana kami sudah berjanji untuk buat begitu setiap bulan,” katanya.
Amri ialah individu pertama daripada lima aktivis yang hilang dalam tempoh enam bulan.
Kira-kira seminggu selepas kehilangannya, Joshua Hilmy dilaporkan hilang. Beliau ialah pastor berketurunan Melayu dan murtad daripada Islam. Isterinya, Ruth juga dipercayai hilang.
Pada 13 Februari, Pastor Raymond Koh diculik dari kereta Honda Accord miliknya di Petaling Jaya, Selangor.
Kes Koh mendapat perhatian apabila rakaman CCTV penculikannya menjadi viral.
Terkini ialah kehilangan bekas ahli majlis MBPJ Peter Chong, 54, yang dilaporkan anak lelakinya, Darryl.
Chong yang juga bekas pegawai khas Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa hilang sejak 5 April.
Mesej terakhirnya di Twitter dan Facebook pada 6 April menyatakan “Semuanya mengenai agama #RUU355 dalam PRU14 – masa depan yang menakutkan untuk Malaysia”. – 12 April, 2017.
Komen