6 maut nahas helikopter tentera Mexico


Helikopter MI-17, yang berlepas dari Valle Verde berhampiran San Luis Potosi, membawa helibucket dengan 660 gelen air untuk memadamkan api ketika ia terhempas. – Gambar AFP, 26 Mei, 2019.

SERAMAI enam orang, termasuk lima anggota Tentera Laut Mexico, meninggal dunia apabila helikopter mereka terhempas semasa operasi memadamkan kebakaran hutan, kata Presiden Andres Manuel López Obrado pada Sabtu.

Kemalangan itu berlaku di kawasan terpencil, berbukit di negeri Queretaro pada Jumaat.

Helikopter MI-17, yang berlepas dari Valle Verde berhampiran San Luis Potosi, membawa helibucket dengan 2,500 liter (660 gelen) air untuk memadamkan api, kata tentera laut sebelum ini.

Kesukaran mengakses kawasan kemalangan itu menyebabkan pihak berkuasa tidak dapat mengesahkan kematian sehingga Sabtu.

“Kami mengucapkan takziah kepada saudara tentera laut dan pegawai awam Suruhanjaya Perhutanan yang kehilangan nyawa mereka,” kata López Obrador pada majlis umum sambil membacakan nama mereka.

Mexico Tengah mengalami ratusan kebakaran hutan sejak beberapa bulan kebelakangan ini disebabkan kekurangan hujan dan suhu yang tinggi.

Kekurangan angin dan hujan menghalang asap daripada menghilang, yang memburukkan lagi kualiti udara ibu kota Mexico sehingga tahap memaksa pihak berkuasa minggu lalu mengisytiharkan amaran alam sekitar dan peringatan kepada penduduk untuk mengelak daripada melakukan aktiviti fizikal di luar rumah. – AFP, 26 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen