SEKATAN ke luar negara dan senarai hitam imigresen berkesan untuk memaksa bayar balik dibuat kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kata peminjam.
Ia diakui ramai peminjam yang memberitahu The Malaysian Insight, bayaran itu dibuat secara konsisten selepas menyedari kepentingannya.
Mohamad Shahril, 30, antara salah seorang peminjam yang tidak pernah membayar meskipun telah mempunyai kerja tetap sejak lima tahun dulu.
Beliau tekad membuat penstrukturan semula apabila mendapati sukar memohon pinjaman bank dan tidak boleh melakukan tugasan di negara luar kerana namanya disenarai hitam oleh imigresen.
“Saya tidak pernah bayar pinjaman saya sejak lima tahun lepas. Mula-mula memang tak bayar sebab belum stabil tapi lama-lama jadi leka.
“Saya mula bayar semula awal tahun lepas apabila nama saya bermasalah untuk buat pinjaman bank. Nak tak nak kita kena cari jalan bayar tunggakan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Kata Mohamad Shahril lagi, pada mulanya beliau berasa sakit hati kerana terpaksa membayar hutang tersebut tetapi lama kelamaan timbul kesedaran dalam dirinya untuk membayar.
“Bila sudah bayar ikut pelan diberi, kita bukan saja bebas tetapi saya rasa duit gaji saya lebih berkat,” kata juruteknik itu kepada The Malaysian Insight.

Beliau merupakan antara sejuta peminjam yang disenaraihitam oleh imigresen apabila langkah itu mula diperkenalkan PTPTN pada tahun 2000.
Sehingga 2018, seramai 655,000 orang dikeluarkan daripada senarai itu selepas membuat bayaran, yang keseluruhannya berjumlah RM1.9 bilion.
Selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran, ia menunaikan janji dalam manifestonya dan membebaskan hampir 433,000 peminjam lagi dari senarai hitam imigresen.
Namun PTPTN mempertimbang untuk memperkenalkannya semula kerana melihat kesan buruk yang akan terjadi sekiranya ramai peminjam tidak membayar pinjaman.
Menurut Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan, seorang daripada setiap lima orang peminjam langsung tidak pernah membuat bayaran balik.
Malah, seramai 32% lagi tidak membayar balik secara konsisten, yang menjadi antara faktor PTPTN menanggung hutang RM40 bilion.
PTPTN bimbang tanggungan hutang itu meningkat kepada RM76 bilion dalam tempoh 20 tahun sekiranya peminjam terus culas membayar hutang.
Nurainn Azhar, 34, yang telah menyelesaikan hutang PTPTN melihat pembatalan itu tidak adil kepada individu yang disekat sebelum ini.
“Saya rasa tidak adil pada peminjam dulu yang telah disekat dan ramai daripada mereka yang konsisten bayar.
Tegasnya, PTPTN perlu bertindak tegas kepada peminjam supaya golongan itu mempunyai kesedaran untuk membayar bagi memberi peluang kepada pelajar lain untuk mendapatkan dana.
“Walau sempit macam mana pun, bila bicara tentang hutang ia adalah satu kewajiban untuk dilangsaikan.
“Yang tidak pernah bayar ini perlu lebih bertanggungjawab kerana ia akan beri kesan kepada peminjam lain.
“Saya percaya bila kita ada rasa kesedaran bayar, duit kita pun lebih berkat,” kata guru tuisyen sepenuh masa itu.

Seorang lagi yang pernah disekat ialah seorang ejen insurans, Nur Hidayah Hamid, 34. Katanya, beliau membayar agar terlepas dari sekatan tersebut dan kini bayaran tersebut dibuat berterusan.
“Dua tahun lepas saya bayar guna akaun dua KWSP sebab nama saya disekat ke luar negara. Waktu itu saya ingin ikut keluarga bercuti tetapi dihalang.
“Maka saya lunaskan tunggakan pinjaman dan bayar konsisten sampai sekarang.
“Cuma sekarang saya kerja tak menentu kerana ada banyak hutang dan komitmen lain juga. Jadi saya ada juga tidak bayar beberapa bulan,” kata ejen insurans itu.
Ura-ura untuk memperkenalkan semula sekatan itu timbul apabila PTPTN mendedahkan cadangan yang dikutipnya setakat ini mengenai kaedah untuk mengutip semula bayaran.
10 idea tersebut dikutip untuk Kertas Konsultasi Rakyat (KKR) PTPTN dalam sesi pertemuan dengan masyarakat yang kini sedang berjalan di seluruh negara.
Antara idea untuk memaksa peminjam culas untuk melunaskan hutang itu adalah penguatkuasaan lebih ketat termasuk menyekat sekatan untuk pembaharuan pasport, lesen memandu dan cukai jalan.
Bagaimanapum cadangan penguatkuasaan itu, termasuk memperkenal semula sekatan ke luar negara ditentang pelbagai pihak yang antara lain melihatnya sebagai tindakan tidak wajar. – 26 Mei, 2019.
Komen