Donald Trump masih yakin dengan Kim Jong Un


Donald Trump masih yakin dengan Kim Jong Un dalam proses rundingan senjata. – Gambar AFP, 26 Mei, 2019.

PRESIDEN AS Donald Trump hari ini menerusi Twitter meluahkan “keyakinan” terhadap pemimpin Korea Utara Kim Jong Un walaupun Pyongyang melakukan ujian senjata terbaru dan rundingan nuklear menemui jalan buntu.

Trump yang kini dalam lawatan ke Jepun bertujuan mengukuhkan hubungan Washington dengan sekutu rapat Asianya itu, juga mencadangkan yang Kim menghantar “tanda” kepadanya menerusi ulasan tengan Joe Biden di media Korea Utara.

Kim melabelkan Biden sebagai “dungu” dan “orang bodoh IQ rendah” kerana mengkritiknya.

“Korea Utara melepaskan beberapa senjata kecil, yang menganggu sebilangan orang tetapi tidak saya (terganggu),” tulis Trump di Twitter, yang nampaknya merujuk kepada ujian senjata pada awal bulan ini.

Beberapa jam sebelum Trump tiba di Tokyo semalam, penasihat Majlis Keselamatan Negara John Bolton memberitahu media tempatan, yang “tanpa ragu” ujian senjata terbaru Pyongyang melanggar resolusi Majlis Keselamatan PBB tetapi menegaskan Washington bersedia menyambung kembali rundingan.

Korea Utara adalah antara isu utama yang jadi agenda pertemua Trump dengan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe.

Pyongyang menembak dua peluru berpandu jarak pendek pada 9 Mei selepas ujian awal pada 4 Mei lalu- yang pertama sejak 18 bulan.

Korea Utara tidak melancarkan sebarang peluru berpandu sejak November 2017, sebelum lawatan diplomatik dilakukan Kim ke beberapa negara.

Dalam pertemuan bersejarah, Trump berjumpa Kim di Singapura pada Jun 2018, dan sekali lagi di Hanoi Februari lalu tetapi pertemuan itu ditangguhkan tanpa sebarang persetujuan. – AFP, 26 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen