Muzik perpaduan Andy Flop Poppy


Zainal Rashid Ahmad

MELEPAK dengan Andy atau nama sebenarnya Megat Effendy Zakaria pada malam minggu lalu, memang antara momen menyeronokkan. Duduk bergebang lepas tengah malam sambil menanti detik bersahur, kami berbual naratif baharu dalam muzik kontemporari.

Andy sudah 25 tahun melalui kehidupan havoc dalam dunia muzik sebagai bintang pop bersama band Flop Poppy. Cuma, sejak sedekad lalu, anak jati Cheras ini memilih meninggalkan dunia glamor. Kini pada usia 50 tahun, Andy lebih komited dengan elemen keagamaan dan muzik marhaen.

Mengisi naratif seni baharunya, Andy kini aktif mengendalikan projek muzik multi bangsa dan agama di Kota Damansara. Aktiviti sosial yang dilakukan secara eksperimental. Niatnya, untuk mencari formula menjadikan kelas muzik sebagai medium perpaduan kaum.

“Kelas muzik ini disertai remaja pelbagai agama. Tujuannya membina komunikasi tanpa prasangka kaum dan agama. Aku risau sekarang, politik kaum bakal jadi masalah besar pada remaja,” katanya.

Andy sudah lama tidak muncul di pentas kelas A. Minatnya cenderung menjadikan gitar dan muzik sebagai “happy hour” bagi membangunkan nilai insan dan keharmonian berinteraksi di kalangan remaja.

Di kota Damansara, kelas muziknya menyatukan remaja Islam, Kristian dan Hindu. Walaupun Andy aktif dengan jemaah tabligh, tetapi kelas ini berada dalam nuansa nilai yang berbeza. Muzik dalam kelas pelbagai kaum dan agama ini, eksklusif dengan misi mencari titik kebersamaan.

Selain memilih remaja berbeza agama, kelas ini turut menerima remaja bermasalah dalam perhubungan sosial.

“Ada yang degil dan sudah nampak ciri keganasan. Kau tau… dalam kelas budak nakal main tampar saja kepala remaja lain. Membuli sesuka jati. Aku dah nampak, kalau tak jaga, budak ini boleh jadi kepala gangster,” kata Andy.

Menangani remaja bermasalah terutama yang berwatak ganas dan “daring” pastilah tidak mudah. Namun, kerana percaya muzik memiliki aura membina personaliti, Andy memilih menerima kehadiran remaja jenis ini. Malah, dia melayan remaja ganas ini dengan pendekatan lebih berhemah.

“Apabila bersalam, aku yang cium tangan mereka. Supaya mereka berasa dihormati. Apabila mereka bertanya, kenapa aku cium tangan. Aku jawab, itu tanda kebaikan. Kita semua suka kalau dihormati,” kata Andy.

Kami berbual di depan kedai bundle Garasi Republic, Jalan Raja Muda Abdul Aziz. Itu tempat melepak kalau bertemu. Korum yang lengkap dengan rakan-rakan kasual yang marhaen. Meja plastik dan teh o menjadikan semua korum yang melepak berasa setaraf.

Tidak peduli sama ada artis popular sampai penjual ikan di pasar Chow Kit, status sama kerana nilainya diratakan oleh konsep meja plastik dan teh o.

Selalunya, kalau melepak, tema perbualan hanya hal kehidupan yang iseng-iseng. Pastinya, cakap-cakap politik sangat dielakkan. Ia hanya korum meja plastik dan tidak relevan untuk ambisi politik yang serba berkuasa dan material sifatnya.

Cuma, pada malam minggu lalu, sementara menunggu bersahur nasi minang, kami berbual soal berat sedikit.

“Penat hidup sekarang. Isu kebencian antara kaum dan agama jadi fenomena. Malas aku nak mengadap media sosial yang jenuh dengan ‘posting’ politik yang menyakitkan kepala,” katanya.

Andy aktif dengan jemaah tabligh. Itu bukan baru kerana sudah lebih sedekad berada dalam persekitaran usaha dakwah. Malah, kalau memetik gitar dan menyanyi pun, Andy hanya hadir di program berunsur religius. Atau, mereligiuskan program nyanyiannya di lokasi persembahan.

Apabila Andy bercerita soal kelas muziknya di Kota Damansara yang bertemakan eksperimen seni demi keharmonian remaja pelbagai agama dan bangsa, itu tentunya satu topik baharu.

“Mana budak nakal, aku seret ibu bapanya hadir sesekali. Supaya mereka tidak kecewa dengan anak-anak bermasalah. Biar mereka lihat bakat anak-anak. Seni antara cara mendidik dan membina personaliti positif,” kata Andy.

Saya bertanya semula mengenai perbuatan bersalam dan mencium tangan pelajar nakal. Apa perlunya guru muzik bersikap merendah diri begitu?

“Kita kena jadi murid kadang-kadang. Hormati remaja sebagai guru. Itu cara buat mereka hargai budaya menghormati orang lain,” jawabnya selamba.

30 tahun yang lalu, Andy memulakan kerjaya muzik pop dan menubuhkan Flop Poppy. Tahun 1992, band pop grunge itu merakamkan single Circle of Friends. Nama Andy, Rijie dan Megat terus meledak dalam carta muzik popular apabila lagu Cinta direlis pada 2002.

Sejak itu Flop Poppy punya legasi dan radius peminat yang tersendiri dalam industri muzik.

Andy melalui dunia glamor agak lama menerusi lagu-lagu top yang seterusnya. Flop Poppy terus mencanak popular melalui lagu Aku & Kamu dan Masih. Malah, Andy berduet dengan Misha Omar pada 2008 melalui lagu Sembunyi.

Semua itu kini hanya sejarah. Andy tidak lagi bercakap mengenainya waktu melepak ala kutu jalanan. Korum meja plastik menolak arogansi.

Malam minggu lagu, setelah terlajak bertanya khabar mutakhirnya, saya terpaku dan rancak berbual mengenai projek muzik sebagai alat perpaduan.

Malah, berasa relevan muzik dijadikan terapi sosial untuk mendidik dan melatih jiwa berontak remaja agar menolak keganasan.

Saya juga berasa kagum kerana projek ini dilancarkan seorang bintang pop@pendakwah yang runsing melihat benih kebencian antara kaum dan agama dibiarkan menular tanpa batas.

“Remaja akan menjadi mangsa kalau orang politik terus menyemarakkan isu kaum dan agama dengan menyemai kebencian,” katanya.

Kami bersahur nasi minang. Naratif mengenai muzik padat mengisi perbualan. Topik yang sesuai kerana kawan-kawan korum penjual bundle, drebar lori, pomen kereta dan pembantu hospital semuanya sukakan muzik.

Pastinya di meja plastik dengan cawan teh o serta sambil makan nasi bungkus - soal politik dan kuasa tidak relevan. Korum marhaen akan mencebik bibir mendengarnya. – 26 Mei, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen