Scrut.my bantu bongkar penipuan industri lumayan kereta ‘recond’


Sheridan Mahavera

Ahmad Aliff A.S Ahmad Shariffuddin (kiri) dan Nik Muhammad Izwan Nik Mohd Kamel (kanan) membangunkan dan melancarkan scrut.my untuk membantu pelanggan daripada terus tertipu industri kereta 'recond'. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 26 Mei, 2019.

HARI kedua selepas melancarkan laman sesawang scrut.my yang membantu mengesahkan ketulenan kereta terpakai dari luar negara, Nik Muhammad Izwan Nik Mohd Kamel sudah mula menerima ugutan.

Dalam minggu pertama pelancaran laman itu, beliau dan rakannya Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin juga mula disisihkan kawan dan teman industri kerana mendedahkan pekung industri lumayan itu.

Dengan membangunkan dan melancarkan scrut.my, dua jurutera perisian itu mendedahkan penipuan yang dakwa mereka banyak berlaku dalam pasaran kereta terpakai dari luar negara- juga dikenali sebagai kereta “recond”- yang secara purata mengimport 30,000 unit setiap tahun.

Kereta “recond” adalah kereta terpakai yang dipasang dan digunakan di negara luar sebelum diimport oleh pengedar Malaysia. Walaupun terpakai, kereta ini jadi buruan kerana kualitinya yang didakwa lebih tinggi berbanding kereta yang dijual di pasaran Malaysia.

Dengan bayaran antara RM35 hingga RM50, bakal pembeli boleh menggunakan scrut.my untuk memeriksa keadaan sebenar kereta “recond” jenis Toyota, Honda, Nissan dan pelbagai jenama Jepun lain yang dijual pengedar tempatan.

Scrut.my menyediakan data dari Jepun tentang keadaan sebenar kereta tersebut termasuklah maklumat perjalanan, jumlah baik pulih dan sama ada ia pernah terlibat dalam kemalangan, kata pengasasnya itu yang merupakan peminat tegar industri permotoran.

Secara purata, industri import kereta terpakai luar negara membawa masuk 30,000 unit setiap tahun tetapi pelbagai penipuan pelanggan berlaku. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 26 Mei, 2019.

“Sebagai orang yang minat kereta, kami kecewa dengan penipuan yang berlaku dalam perniagaan ‘recond’. Hampir 90% orang yang menjual (kereta) ‘recond’ menipu,” kata Nik Izwan kepada The Malaysian Insight.

“Mereka ubah meter ‘mileage’ untuk membuat kereta itu seperti jarang diguna, mereka palsukan borang asal pemeriksaan, mereka beritahu pelanggan yang kereta hanya ada masalah kecil sedangkan ia terlibat dalam kemalangan besar.”

Kereta ‘recond’ dari Jepun serta Eropah seperti UK sangat popular kerana ia mempunyai spesifikasi dan hasil kerja lebih baik berbanding jenama sama yang dipasang dan dijual dalam pasaran tempatan. Malah, ia jauh lebih murah berbanding kereta baharu.

Misalnya, harga purata untuk Toyota Vellfire 2019 baharu adalah RM360,000 tetapi kereta ‘recond’ jenama sama tahun 2017 berharga RM270,000.

“Beza harga besar dan spesifikasi kereta ‘recond’ biasanya lebih baik. Saya beli Vellfire saya kerana percaya grednya lebih tinggi,” kata Aliff.

“Tetapi bila saya periksa dengan scrut, saya dapati saya ditipu pengedar yang janji tak akan menipu. Jadi, scrut adalah cara kami menghentikan amalan (penipuan) ini.

“Ini adalah cara kami menyumbang kepada orang ramai dan buat sesuatu untuk perkara yang kami suka. Kami mahu perniagaan ini jadi telus supaya pengguna tahu apa yang mereka beli,” kata Aliff lagi. – 26 Mei, 2019.

Berita penuh di sini.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen