UNTUK memberikan anda gambaran betapa hebatnya pelakon Korea Selatan Song Kang-ho, salah satu perkara yang dilakukan pengarah Bong Joon-ho semalam selepas menang anugerah di Cannes adalah melutut dan memberikan Palme d’Or kepadanya.
Pelakon yang dianggap khazanah negara, Song sudah membintangi beberapa filem yang diangkat sebagai terbaik di negara itu.
Beliau juga cemerlang dalam Parasite, melakonkan watak ketua keluarga penipu dalam filem jenaka gelap yang berjaya membawa kejayaan kepada Bong di Cannes.
Song, 52, berlakon empat filem Bong termasuklah filem 2006 The Host dan filem Bahasa Inggeris Bong, Snowpiercer, kedua-duanya pecah panggung dan dapat pujian pengkritik.
“Saya banyak bergantung kepada Song,” kata pengarah itu pada sidang media di Seoul.
“Bekerja dengannya membolehkan saya jadi lebih berani sebagai pembikin filem dan mengambil banyak cabaran baharu.”
Selepas memulakan kerjayanya di pentas teater, Song membuat penampilan sulung di layar perak pada 1996 menerusi filem arahan pengarah terkenal Hong Sang-soo, The Day a Pig Feel into a Wall.
Sejak itu, beliau membintangi lebih 30 filem dan bekerja dengan barisan pengarah terkenal Korea Selatan termasuklah Park Chan-wook, Kang Je-gyu dan Lee Chang-dong.
Watak dimainkan Song diangkat sebagai antara hasil karya terbaik pernah wujud dalam sejarah moden wayang Korea Selatan.
Filem aksi arahan Kang Je-gyu pada 1999, Shiri adalah filem pertama bajet besar gaya Holloywood dan mengatasi kutipan filem Titanic pada tahun itu.
Song juga berlakon dalam beberapa filem diarahkan pengarah terkenal Park Chan-wook termasuklah Joint Security Area (2000), Sympathy for Mr. Vengeance (2002) dan Thirst (2009), yang menang Hadiah Juri di Pesta Filem Cannes.
Dengan pengalaman lebih 20 tahun di layar perak, watak dimainkan Song pelbagai daripada detektif dalam filem Bong, Memories of Murder sehinggalah kepada paderi katolik dalam Thrist.
Beliau juga memainkan watak sukar seperti watak peguam ilham bekas presiden Roh Moo-hyun (The Attorney, 2013) dan watak pemandu teksi yang terjebak dalam Kebangkitan Gwangju 1980 (Taxi Driver, 2017). – AFP, 26 Mei, 2019.
Komen