TENTERA Sri Lanka melancarkan pemburuan besar pada hari Sabtu bagi menahan saki-baki kumpulan Islam yang melakukan pengeboman bunuh diri pada hari Easter yang mengorbankan 258 orang.
Beberapa pinggir bandar Colombo disasarkan pihak tentera menggunakan kuasa darurat bagi penahanan atau penangkapan suspek yang berkuat kuasa selepas serangan 21 April.
“Operasi pencarian khas sedang berjalan di tiga kawasan di luar Colombo, ” kata seorang pegawai tentera kepada pemberita.
Operasi serupa juga dilakukan di Wilayah Barat Utara, berhampiran Colombo, di mana rusuhan anti-Islam bulan ini di kawasan itu menyebabkan seorang lelaki mati dan beratus-ratus kedai milik orang Islam, rumah dan masjid dimusnahkan.
Pasukan keselamatan telah menahan ramai suspek berhubung pengeboman tiga hotel dan tiga gereja di mana ia dilihat sebagai satu keganasan terhadap minoriti Islam di pulau itu.
Ketika pihak berkuasa mengatakan ancaman jihad berjaya dikekang, Presiden Maithripala Sirisena pada hari Rabu menyambung tempoh satu bulan keadaan darurat 30 hari yang dikenakan selepas kejadian bom bunuh diri tersebut.
Sirisena berkata langkah itu adalah untuk mengekalkan “keselamatan awam”, ketika negara itu masih berisiko diserang selepas berdepan serangan ke atas tiga hotel dan tiga gereja yang dilakukan kumpulan jihadis tempatan, National Thowheeth Jama’ath (NTJ).
Kumpulan Daesh juga turut mendakwa bertanggungjawab dalam serangan itu.
Kristian membentuk 7.6 peratus penduduk di negara itu sementara penganut Islam membentuk 10 peratus daripada keseluruhan rakyat yang memiliki majoriti penganut Buddha di Sri Lanka.
Sementara itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Bebas Sri Lanka menuduh polis gagal mencegah rusuhan anti-Islam selepas pengeboman tersebut. – AFP, 25 Mei, 2019.
Komen