Baju kalis api bomba selamat, kata Zuraida


Alfian Z.M. Tahir

Zuraida sebelum ini dilaporkan menyebut, sembilan Balai Bomba dan Penyelamat di seluruh negara berdepan masalah kekurangan baju kalis api yang kritikal berikutan tiada pembelian baharu dibuat sejak 2017. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2019.

6000 baju kalis api untuk kegunaan pasukan bomba selamat digunakan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamarudin hari ini.

Dalam satu kenyataan, Zuraida mendedahkan bahawa ujian yang dijalankan di United Kingdom Service Accreditation (UKAS) menunjukkan bahawa baju yang digunakan pasukan bomba memenuhi standard ditetapkan.

“Ujian yang dijalankan oleh UKAS sebuah syarikat yang berpusat di Manchester mendedahkan bahawa semua 6000 baju kalis api untuk pasukan bomba negara selamat digunakan.”

“Saya telah mengarahkan supaya Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat mengedarkan baju kalis api itu kepada setiap kakitangan.”

“Dengan ini saya ingin memperbetulkan kenyataan dan laporan media sebelum ini,” kata Zuraida dalam satu kenyataan.

Pada bulan Januari, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa pihaknya sedang menyiasat bekalan pakaian kalis api yang tidak selamat kepada pegawai bomba di negara ini.

SPRM memberikan maklum balas terhadap laporan eksklusif oleh Harian Metro bahawa anggota bomba dari sembilan stesen bomba terpaksa menggunakan pakaian kalis api yang lama selepas 6,000 pakaian kalis api baharu telah disita oleh SPRM sebagai sebahagian daripada siasatan mereka yang sedang dijalankan.

Menurut laporan itu, pakaian kalis api yang dikatakan telah disita tersebut didapati diperbuat dari poliester yang mudah terbakar.

Pakaian kalis api yang dibekalkan pada tahun 2016 itu dikatakan bernilai antara RM2,400 hingga RM2,500 sekeping.

Zuraida sebelum ini dilaporkan menyebut, sembilan Balai Bomba dan Penyelamat di seluruh negara berdepan masalah kekurangan baju kalis api yang kritikal berikutan tiada pembelian baharu dibuat sejak 2017.
 
Ini ekoran  pembelian 6,000 baju kalis api bernilai RM13.5 juta pada 2016 lepas dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa berlaku penyelewengan. 

Zuraida berkata, daripada 6,000 baju kalis api yang dibeli pada tahun 2016, dua pasang dipilih secara rawak untuk dihantar bagi diuji di makmal di Manchester yang diiktiraf oleh United Kingdom Accreditation Service. 

Ujian itu bertujuan menentukan sama ada baju kalis api yang dibekalkan oleh kontraktor adalah mematuhi spesifikasi teknikal dalam kontrak perjanjian. .– 25 Mei, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen