Bayar segera royalti minyak, kata Nik Amar


Diyana Ibrahim

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah berkata negeri sepatutnya sudah boleh terima pembayaran royalti tanpa menunggu pendengaran September. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mei, 2019.

KERAJAAN perlu menyegerakan bayaran royalti minyak kepada Kelantan kerana negeri itu sudah menarik balik saman ke atas Petronas, kata Timbalan Menteri Besar, Nik Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata Kelantan sepatutnya sudah boleh menerima terus wang royalti minyak tanpa menunggu pendengaran yang ditetapkan peguam wakil kerajaan pusat pada September.

“Kita harap kerajaan negeri mempertimbangkan cadangan ini. Sekarang ini isunya peguam wakil kerajaan tak beri komitmen, minta pendengaran pada September jadi makan masa lama.

“Sepatutnya bila tarik balik (saman) kira selesai. Kerajaan pusat bayarlah tak payah tunggu September,” katanya ketika ditemui pemberita di Kota Bharu, Kelantan.

Beliau mengulas rundingan yang perlu dijalankan pada September dengan kerajaan persekutuan dan Pejabat Peguam Negara berhubung perkembangan kes tersebut.

Perkara itu disebut Menteri Besar Ahmad Yakob pada Selasa lalu yang dilaporkan berkata, ia bermakna tuntutan saman tersebut dianggap masih belum selesai.

Jelas Nik Amar, saman yang diselesaikan adalah kes terhadap Petronas tetapi rundingan perlu dibuat kerana kerajaan persekutuan menjadi pencelah dalam kes itu.

Katanya lagi, Kelantan memerlukan bayaran itu untuk program kesejahteraan rakyat termasuk menambah baik infrastruktur, bekalan air bersih, jalan raya, dan untuk sektor pendidikan.

Ketika ditanya, Nik Amar juga menolak kebimbangan Pakatan Harapan sekiranya wang royalti itu akan disalahguna bagi tujuan politik.

Katanya, bagi pihak Kelantan juga boleh mengesyaki perkara sama akan dilakukan kerajaan persekutuan jika tidak membayar wang tersebut kepada Kelantan.

“Pilihan raya lama lagi, bagi lah dekat kita dulu,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah di Medan Ilmu, Kota Bharu.

Kerajaan PAS Kelantan menganggap kes saman ke atas kerajaan persekutuan itu selesai selepas mahkamah membenarkan kerajaan negeri menarik kembali saman pada minggu lalu.

Saman tersebut ditarik balik selepas Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali mengumumkan Putrajaya tidak boleh membayar royalti ekoran saman yang difailkan pada 2010 itu.

Mengikut perjanjian bawah Akta Petroleum 1974, bayaran pertama untuk royalti tersebut sepatutnya dibuat pada September dan seterusnya pada Mac tahun berikutnya.

Bayaran royalti ke atas Putrajaya itu bagi memenuhi manifesto Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum lalu. – 24 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen