Ini sebab program matrikulasi jadi isu hangat


Sheridan Mahavera

Dasar terbuka kerajaan Pakatan Harapan membolehkan parti politik dan kumpulan yang mewakili pelajar bukan Melayu lebih lantang bersuara mengkritik mengenai kuota program matrikulasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2019.

WALAU kerajaan Pakatan Harapan (PH) berusaha mengakhiri politik perkauman, program matrikulasi masih menjadi isu yang membangkitkan emosi kerana ia dikaitkan dengan kepentingan kaum, kata pakar pendidikan.

Bekas pembuat dasar pendidikan, akademik dan aktivis pendidikan berkata perdebatan mengenai matrikulasi atau “matrik” lebih panas sekarang disebabkan dasar kerajaan terhadap keterbukaan dan menerima kritikan.

Ini membolehkan parti politik dan kumpulan yang mewakili pelajar bukan Melayu lebih lantang dalam kritikan terhadap sistem kuota matrik, memandangkan sebelum ini suara mereka ditindas oleh Umno, parti induk dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Di bawah pentadbiran BN kebebasan membuat petisyen kepada kerajaan untuk meminda atau mengubah kuota matrikulasi tidak pernah wujud kerana Umno sering menganggap pandangan itu seperti mempersoalkan “hak kaum Melayu-Bumiputera”.

Apa yang pernah menjadi “tongkat” sementara kini menjadi hak ekonomi tetap di bawah kerajaan BN berasaskan kaum, kata Noor Azimah Abdul Rahim daripada Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE).

“Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sentiasa memberi sokongan agar tongkat itu dikeluarkan secara beransur-ansur. Beliau menyokong meritokrasi,” kata Azimah.

Program matrikulasi berlangsung sepanjang dua semester dan dibiayai oleh kerajaan. Namun kos unuk menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) biasanya lebih tinggi kerana pelajar kadang-kala perlu membayar untuk kelas tuisyen tambahan.

Ahli Parlimen persekutuan dan bekas exco pendidikan Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad berkata PH percaya kepada inklusif, naratif nasional berasaskan keperluan namun parti itu sukar memperbaiki sistem matrikulasi kerana BN mengubah program itu menjadi hak berasaskan kaum

“Ia adalah isu besar dan sensitif dalam politik,” kata Nik Nazmi.

Menurut pakar, keseluruhan sistem prauniversiti perlu diperbaharui namun berpendapat beberapa unsur dalam matrikulasi perlu dikekalkan seperti matlamat membantu pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.

Kemasukan ke universiti harus menggabungkan pendekatan berasaskan keperluan dengan memastikan kepelbagaian etnik, kelas dan wilayah diwakili di institusi pengajian tinggi, kata ahli akademik Dr Lee Hwok Aun dari Institut Pengajian Asia Tenggara (ISEAS).

Pelajar yang tidak mendapat tempat program matrikulasi perlu mengambil Tingkatan 6 dan menduduki peperiksaan STPM, yang disifatkan pakar lebih sukar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2019.

Kebebasan baharu, isu lama

Unsur perkauman dalam matrikulasi itu diakui oleh Dr Mahathir dan penasihat kerajaan, Daim Zainuddin. Program ini diperkenalkan pada lewat 1990-an ketika kali pertama Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

Dr Mahathir berkata ia adalah “pintu belakang” untuk mendapatkan lebih banyak orang Melayu dan Bumiputera daripada keluarga berpendapatan rendah ke universiti awam manakala Daim berkata ia adalah untuk membetulkan ketidakseimbangan etnik.

“Menurut sejarah, matrikulasi adalah satu program untuk mengatasi jurang dalam pelajar Bumiputera yang mengambil kursus sains di universiti. Jadi, ia tidak dapat dielakkan dilihat sebagai isu Bumiputera,” kata Nik Nazmi yang berkhidmat sebagai exco pendidikan Selangor dari 2013 hingga 2018.

Laman web Kementerian Pendidikan menyatakan 40,000 tempat dibuka kepada pelajar untuk mempelajari sains, kejuruteraan dan perakaunan.

Daripada jumlah itu, 90% daripada tempat tersebut disediakan untuk pelajar Melayu dan Bumiputera dari Sabah dan Sarawak manakala 10% diperuntukkan bagi bukan Bumiputera.

Pelajar yang tidak mendapat tempat program matrikulasi perlu melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 6 dan menduduki peperiksaan STPM, yang disifatkan lebih sukar oleh pakar pendidikan.

Apa yang menjadikan matrikulasi berbeza daripada pelajar yang mengikutti aliran STPM ialah mereka akan diberikan bimbingan tambahan, kata Nik Nazmi.

“Ideanya adalah untuk menyediakan bimbingan dan latihan untuk membolehkan pelajar Bumiputera daripada keluarga kurang bernasib baik untuk bersaing dengan mengambil laluan STPM konvensional. Matrik berjaya melakukannya,” kata Nik Nazmi, yang kini ahli Parlimen Setiawangsa. – 25 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen