Itu cuma pendapat peribadi Kadir Jasin, kata Muhyiddin


Ragananthini Vethasalam

Kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu A. Kadir Jasin bahawa menteri yang tidak cemerlang harus meletak jawatan secara sukarela hanyalah pendapatnya sendiri, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 23 Mei, 2019.

KENYATAAN Ahli Majlis Tertinggi Bersatu A. Kadir Jasin bahawa menteri yang tidak cemerlang harus meletak jawatan secara sukarela hanyalah pendapatnya sendiri, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata beliau tidak tahu siapakah yang dimaksudkan oleh Kadir dalam kenyataan yang dibuat di blog wartawan veteran itu.

“Tak apa, itu cuma pendapat dari seorang pengamal media,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa kementeriannya malam ini.

“Saya tak tahu siapa yang beliau maksudkan. Kalau maksudkan saya, saya akan berhentilah, tetapi kalau orang lain, itu terpulang kepada mereka. Itu pendapat peribadi beliau.”

Menerusi blognya Selasa lalu, Kadir yang juga pesihat media dan komunikasi di Pejabat Perdana Menteri berkata menteri besar, ketua menteri dan pegawai tadbir yang tidak mencapai prestasi cemerlang selepas setahun Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaaan perlu meletak jawatan dengan sukarela.

Beliau berkata tempoh masa setahun sudah cukup lama untuk mereka belajar.

Tulisan Kadir itu selepas beberapa menteri dikritik kerana gagal dalam mengeluarkan kenyataan dan menangani isu tertentu. Antara mereka termasuklah Menteri Pendidikan Maszlee Malik dan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad, meskipun tulisannya itu tidak menyebut sebarang nama khusus.

Kata Muhyiddin, Bersatu akan membiarkan individu yang memegang jawatan tertentu supaya membuat keputusan sendiri sama ada mereka layak memegang jawatan yang diberi.

Beliau berkata terpulanglah bagi menteri untuk menentukan masa depan mereka jika merasakan tidak lagi sesuai berada dalam Kabinet atau tidak menjalankan tugas dengan cemerlang.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga berkata kuasa untuk menggantikan menteri terletak di tangan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – 23 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen