SYARIKAT milik Jepun, Panasonic berkata pada Khamis ia menggantung perniagaan dengan Huawei selepas pengharaman Amerika Syarikat (AS) terhadap firma China berhubung kebimbangan mengenai keselamatan, menjadi tamparan terbaharu kepada gergasi telekomunikasi itu.
“Kami sudah menghentikan semua transaksi perniagaan dengan Huawei dan 68 syarikat kumpulannya…yang tertakluk kepada larangan kerajaan AS,” kata jurucakap Panasonic Joe Flynn kepada AFP.
“Semalam arahan dalaman untuk menguatkuasakan sepenuhnya peraturan itu sudah dikeluarkan,” katanya.
Flynn berkata perniagaan Panasonic dengan Huawei melibatkan bekalan “bahagian elektronik,” tetapi enggan memberi butiran lanjut.
Pengumuman itu datang selepas penyedia perhidmatan di Jepun dan Britain mengumumkan akan menangguhkan pelancaran telefon pintar Huawei.
Gergasi telekom Britain, EE yang dimiliki oleh BT, juga berkata ia akan menghentikan secara berperingkat penggunaan peralatan Huawei dalam elemen “teras” yang paling sensitif dalam infrastruktur rangkaiannya.
Langkah itu susulan keputusan Presiden AS Donald Trump mengharamkan syarikat AS daripada membekalkan Huawei dan sekutunya dengan komponen penting, dengan alasan kebimbangan mengenai aspek keselamatan.
Bagaimanapun, pihak rasmi AS minggu ini mengeluarkan penangguhan selama 90 hari mengenai larangan urus niaga dengan Huawei, mengatakan sedikit ruang diperlukan untuk mengelakkan gangguan besar. – AFP, 23 Mei, 2019.
Komen