Turki henti beli minyak Iran untuk hormati sekatan AS


Turki adalah antara lapan negara, termasuk China, India dan Jepun, yang pada awalnya dikecualikan daripada sekatan AS dan dibenarkan terus mengimport minyak Iran, tetapi pengecualian itu berakhir pada 2 Mei dan tidak diperbaharui. – Gambar EPA, 23 Mei, 2019.

ANKARA berhenti mengimport minyak dari Iran bermula Mei demi “menghormati” sekatan Amerika walaupun tidak bersetuju dengan mereka, kata seorang pegawai Turki pada Rabu.

“Sebagai sekutu strategik” Amerika Syarikat (AS), “kita menghormati” sekatan itu, kata pegawai itu, yang enggan dikenali, semasa kunjungan Menteri Luar Negara Turki Yavuz Selim Kiran ke Washington.

Sejak keluar perjanjian nuklear Iran pada tahun lalu, pentadbiran Presiden Donald Trump mengenakan Iran dengan sekatan yang melarang eksport minyak Iran, serta menyasarkan negara yang terus membelinya.

Turki adalah antara lapan negara, termasuk China, India dan Jepun, yang pada awalnya dikecualikan daripada sekatan dan dibenarkan terus mengimport minyak Iran, tetapi pengecualian itu berakhir pada 2 Mei dan tidak diperbaharui.

Ankara pada mulanya kelihatan tidak bersedia untuk mematuhi, tetapi menurut pegawai berkenaan, Turki sudah berhenti mengimport minyak Iran selepas 2 Mei.

Semasa bertemu dengan Trump, delegasi Turki di Washington membincangkan pelbagai perkara yang menjadi ketegangan antara kedua sekutu NATO, termasuk pembelian kontroversi sistem pertahanan roket S-400 dari Moscow oleh Ankara baru-baru ini.

Washington mengatakan urus niaga dengan Moscow adalah ancaman terhadap pertahanan Barat dan pada April menggantung Ankara daripada program jet pejuang F-35 dalam usaha menghentikan pembelian itu.

“Urus niaga sudah dibuat,” kata timbalan menteri Turki kepada wartawan di Washington, mengesahkan pendirian negara untuk mengekalkan kontrak dengan Moscow.

Kerajaan Turki mencadangkan kumpulan kerja teknikal bersama dengan pentadbiran Trump bagi membantu menghilangkan kebimbangan AS, yang khuatir S-400 akan digunakan untuk mengumpul data teknologi pesawat ketenteraan NATO, yang akan dapat diakses Rusia.

“Kami masih menunggu jawapan mereka mengenai kumpulan teknikal,” tambah pegawai Turki itu.

Hubungan AS-Turki tegang terhadap pelbagai isu, termasuk sokongan AS terhadap tentera Kurdish Syria yang dilabel pengganas oleh Ankara, dan keengganan Washington mengekstradisi pendakwah Islam berpangkalan di Pennsylvania Fethullah Gulen, yang dituduh menjadi dalang rampasan kuasa gagal di Turki pada 2016. – AFP, 23 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen