Lebih 30 mati ditembak kumpulan bersenjata di Republik Afrika Tengah


Tentera Misi Sokongan Antarabangsa yang diketuai oleh Afrika mengawal sebuah kampung terpencil berhampiran bandar Paoua, di Republik Afrika Tengah. Seramai 31 orang terbunuh di Koundjili dan Lemouna. Sekurang-kurangnya tiga lagi terbunuh di Bohong. – Gambar AFP, 23 Mei, 2019.

LEBIH 30 orang terbunuh dan ramai lagi cedera apabila sekumpulan bersenjata menyerang kampung di timur laut Republik Afrika Tengah pada Selasa, kata misi pengaman PBB (Minusca).

Pembunuhan beramai-ramai berlaku di beberapa kampung berhampiran bandar Paoua, tidak jauh dari sempadan Chad, kata Pascal Champion, ketua komponen polis Minusca, pada sidang akhbar di Bangui pada Rabu.

“Penjenayah datang dan melepaskan tembakan kepada penduduk,” katanya.

Seramai 31 orang terbunuh di Koundjili dan Lemouna. Sekurang-kurangnya tiga lagi terbunuh di Bohong.

Pasukan keselamatan tempatan juga melaporkan 15 kematian di kampung Maikolo, tetapi maklumat ini belum disahkan oleh PBB.

Kejadian itu adalah pembunuhan beramai-ramai terbesar sejak kerajaan dan 14 militia menandatangani perjanjian pada Februari yang bertujuan untuk memulihkan keamanan di satu antara negara paling bermasalah di Afrika.

Misi pengamanan PBB “mengutuk” pembunuhan itu, kata Ketua Minusca Mankeur, Ndiaye di Twitter pada Rabu.

“Penjenayah seperti ini akan diburu, ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.”

Berita mengenai pertumpahan darah itu kebetulan dengan pengumuman Vatican bahawa seorang biarawati Perancis-Spanyol dibunuh secara kejam di sebuah desa di barat daya Republik Afrika Tengah.

Sumber PBB mengatakan pembunuhan di barat laut dilakukan oleh kumpulan yang dipanggil 3R, yang menjadi tuan rumah bagi pertemuan dengan penduduk kampung dan kemudian menembak mereka secara rambang.

Menurut data PBB pada Disember tahun lepas, ribuan kehilangan nyawa, hampir 650,000 melarikan diri dan 575,000 meninggalkan negara. – AFP, 23 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen