Beri taklimat keselamatan sebelum robohkan Highland Towers


Noel Achariam

Pada 11 Disember 1993, satu daripada tiga blok Kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh dalam tragedi yang meragut nyawa 48 orang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 23 Mei, 2019.

PENDUDUK Taman Sri Ukay Hillview di Ampang mahu taklimat keselamatan diberikan sebelum kerja merobohkan Highland Towers dijalankan pada bulan depan bagi membina taman rekreasi.

Mereka mengalu-alukan rancangan merobohkan kedua-dua blok kondominium yang lama ditinggalkan sejak 25 tahun lalu namun menyatakan kebimbangan mengenai keselamatan mereka.

Pihak berkuasa perlu memberi taklimat kepada penduduk tentang kaedah meroboh dan bagaimana mereka akan mengurangkan masalah bunyi bising serta pencemaran debu.

Menurut mereka, bagaimana runtuhan pembinaan akan dikendalikan, kemasukan dan akses ke tapak untuk kenderaan berat serta kesan dihadapi penduduk setempat mesti didedahkan.

Presiden Persatuan Penduduk Taman Sri Ukay Hillview, Siti Hendon Chik memberitahu The Malaysian Insight bahawa pihak berkuasa mesti menangani isu keselamatan sebelum kerja dijalankan.

“Kami bimbang terhadap keselamatan penduduk apabila aktiviti merobohkan bangunan berlaku.

“Kami berharap pihak berkuasa akan memberikan taklimat tepat sebelum kerja bermula,” katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamarudin mengumumkan aktiviti merobohkan bangunan lama itu dijadualkan berlangsung bulan depan.

Kawasan yang terletak di puncak bukit itu akan berubah menjadi taman rekreasi kerana tanah itu dianggap tidak selamat untuk kawasan perumahan.

Zuraida berkata, aktiviti meroboh dan pembersihan diikuti dengan pembinaan memorial itu dibiayai oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

“Pemaju Highland Towers berjanji untuk menyumbangkan dana kira-kira RM2 juta bagi kerja meroboh,” katanya.

Siti Hendon berkata, penduduk mahu butiran mengenai kaedah meroboh, tempoh dan apa yang penduduk sekitar harapkan.

Beliau juga mencadangkan agar kawasan itu ditutup kerana aktiviti meroboh akan menarik minat orang luar untuk melihatnya.

Dua blok Kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang yang kini terbiar sejak tragedi 11 Disember 1993. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 23 Mei, 2019.

“Ini untuk keselamatan penduduk dan orang ramai,” katanya.

Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Sri Ukay Hillview, Shila Kasim berkata pihak berkuasa perlu berunding dengan penduduk sebelum kerja meroboh dijalankan.

“Aktiviti meroboh dan sebarang pembangunan mesti mengambil kira kawasan sekeliling.

“Kami mengalu-lakukan pembangunan semula dan ini langkah baik oleh kerajaan.

“Perlu ada taklimat tentang rancangan mereka dan penduduk juga perlu mendapatkan maklumat terkini mengenai apa yang sedang berlaku di tapak pembinaan berkenaan,” katanya.

Kedua-dua wanita itu mengalu-alukan rancangan menjadikan tapak itu sebagai taman rekreasi memandangkan kawasan itu pernah berdepan tragedi yang meragut nyawa 48 orang apabila satu daripada tiga blok kondominium runtuh pada 11 Disember 1993.

“Sebaik sahaja kawasan itu dibersihkan, kami berasa selamat dan tenang. Taman ini akan menjadi isyarat yang baik untuk mangsa,” kata Siti Hendon.

Penduduk di dua blok yang masih tinggal dipindahkan sejurus selepas bangunan runtuh dan dikosongkan selepas itu. – 23 Mei, 2019.

Beberapa perabot yang ditinggalkan penghuni Kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang sejak pihak berkuasa mengisytiharkan kawasan itu sebagai tidak selamat untuk didiami. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 23 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen