Elak kawasan kekacauan, pesan Wisma Putra kepada rakyat Malaysia di Jakarta


Pagi tadi, Gabenor Jakarta Anies Baswedan mengumumkan enam terbunuh sementara 200 cedera setakat jam 9 pagi selepas kumpulan penunjuk perasaan dan polis bertempur dari tengah malam sampai menjelang Subuh. – Gambar EPA, 22 Mei, 2019

RAKYAT Malaysia yang berada di Jakarta diminta mengelak beberapa kawasan yang menjadi titik kekacauan sejak malam tadi, kata Wisma Putra, selepas Joko Widodo disahkan menang pilihan raya umum dan kekal sebagai presiden republik untuk penggal kedua.

Wisma Putra juga mengesahkan setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat atau terkesan secara langsung akibat tunjuk perasaan dan kekacauan yang berlaku.

“Rakyat Malaysia yang berada di Indonesia diminta supaya menjauhi kawasan tumpuan peserta demonstrasi, mengikuti perkembangan terkini, dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa,” kata Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan hari ini.

“Situasi di Jakarta Pusat pada masa kini terkawal dan masih diletakkan dalam keadaan siap siaga 1 (atau sangat berjaga-jaga).”

Kedutaan Malaysia di Jakarta dalam satu kenyataan bertarikh 18 Mei memberi ingatan tempat yang perlu dielak iaitu sekitar bangunan pejabat Komisi Pemilihan Umum (KPU) dan Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu).

Dua bangunan itu terletak di sekitar daerah Tanah Abang, Thamrin, Sabang dan Menteng.

Awal hari ini, Kedutaan Malaysia di Jakarta memaklumkan melalui Twitter kawasan berkenaan masih menjadi tempat rapat umum.

Pagi tadi, Gabenor Jakarta Anies Baswedan mengumumkan enam terbunuh sementara 200 cedera setakat jam 9 pagi selepas kumpulan penunjuk perasaan dan polis bertempur dari tengah malam sampai menjelang Subuh.

Dalam pada itu, Wisma Putra meminta rakyat Malaysia yang berada di sekitar Jakarta Pusat yang memerlukan bantuan konsular agar berhubung dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia di sana.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta boleh dihubungi menerusi emel [email protected] atau [email protected] atau telefon +62 215 224 947 dan +62 813 8081 3036.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia mengumumkan Jokowi yang bergandingan dengan tokoh ulama Ma’aruf Amin terpilih sekali lagi sebagai presiden republik untuk penggal kedua.

Mereka yang mengumpulkan 55.5% undi atau lebih 85 juta daripada 154 juta undi mengalahkan Prabowo Subianto dan regunya Sandiaga Uno dalam pemilihan yang berlangsung 17 April lalu.

Pasangan Jokowi dan Ma’aruf menang di 21 daripada 34 daerah, lapor The Jakarta Globe.

Prabowo, bekas jeneral tentera semasa era bekas presiden Suharto, bagaimanapun enggan menerima kekalahan itu.

Beliau juga menggesa penyokongnya untuk menunjukkan bantahan terhadap keputusan pilihan raya yang didakwanya tercemar dengan penipuan, lapor CNN Indonesia.

Beliau dipetik berkata, hak demokrasi rakyat sedang dirampas dan diperkosa. – 22 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen