Media Korea Utara selar Naib Presiden AS


Media Korea Utara hari ini menyelar bekas Naib Presiden Amerika Syarikat Joe Biden sebagai “bebal” dan “IQ rendah” selepas mengkritik pemimpin negara berkenaan, Kim Jong-un. – Gambar AFP, 22 Mei, 2019.

MEDIA Korea Utara hari ini menyelar bekas Naib Presiden Amerika Syarikat sebagai “bebal” dan “IQ rendah” selepas mengkritik pemimpin negara berkenaan, Kim Jong-un.

Joe Biden yang pernah berkhidmat selama dua penggal sebagai timbalan kepada Presiden Barack Obama ketika ini sedang sibuk berkempen sejak mengumumkan beliau adalah calon presiden Parti Demokratik untuk pilihan raya presiden 2020.

Beberapa komen Biden berhubung pemimpin Korea Utara dibuat ketika berkempen sehingga mendatangkan kemarahan Pyongyang dan mencetuskan pelbagai ulasan oleh agensi berita rasmi negara itu KCNA.

Agensi itu menuduh Biden memfitnah kepimpinan agung Korea Utara dan mengatakan bekas senator itu bertindak melulu serta tidak berakal kerana terlalu bercita-cita untuk berkuasa.

“Apa yang diperkatakan beliau adalah sofisme yang tidak sepadan dengan kualiti asas sebagai manusia apatah lagi sebagai ahli politik,” kata agensi itu.

KCNA tidak memberikan butiran lanjut tetapi ketika perhimpunan di Philadelphia pada Sabtu lalu, Biden mengkritik pendekatan Donal Trump terhadap pemimpin Korea Utara dan Rusia dengan menuduh presiden itu berbaik dengan pemimpin zalim seperti Vladimir Putin dan Kim Jong-un.

Trump menjadi presiden pertama AS bertemu dengan pemimpin Korea Utara di Singapura tahun lalu dan telah berulang kali menyebut hubungan baiknya dengan Kim.

Ramai pihak percaya Biden merupakan pertaruhan terbaik mereka untuk mengusir Trump dari White House. – AFP, 22 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen