Lambat sedar punca krisis bisnes media


Zainal Rashid Ahmad

PADA 1994, setelah kembali dari melawat syarikat akhbar gergasi Jepun, Asahi Shimbun di Tokyo, Johan Jaaffar bercerita mengenai teori akhbar masa depan. Di negara matahari terbit, sudah wujud kesedaran – akhbar cetak mungkin pupus.

“Akhbar masa depan hanya disket sebesar ibu jari dan tablet sebesar tapak tangan. Orang beli disket secara harian dan membacanya di tablet, ” katanya.

Itu era Internet belum ada. Disket belum popular dan tablet perkataan baharu. Ketika itu, dunia akhbar baru bermigrasi dari ketikan mesin taip ke pengenalan era komputer.

Pada ketika itu, perkataan media sosial, Internet jalur lebar, emel, platform digital dan aplikasi android belum wujud dalam perbualan harian.

Tahun 1994, teknologi paling glamor ialah telefon bergerak Automatic Telephone Using Radio (ATUR) seberat 20kg dianggap simbol terhebat komunikasi selular.

Selebihnya, apa saja teknologi yang diasaskan oleh terciptanya telefon bimbit masih belum wujud. Sekali pun dalam mimpi.

Kisah pengalaman Johan di Asahi Shimbun kekal sekadar kisah. Walaupun sudah ada isyarat akan berlaku ledakan perubahan teknologi bagi komunikasi maklumat, tiada siapa yang peduli.

Siapa akan peduli? Ketika itu, akhbar dicetak antara 300,000 hingga 600,000 naskhah sehari. Gergasi media cetak berpesta meraih jualan dengan keuntungan edaran majalah yang pelbagai. Agihan iklan juga dikuasai oleh akhbar dan TV saja.

Media cetak pada masa itu hidup selesa dengan 15,000 rangkaian stall pengedar tepi jalan yang dibangunkan oleh komuniti India Muslim. Ketika itu, jalinan bijak syarikat akhbar, pengedar dan pemilik stall menjadikan rantaian edaran manual sangat efisien.

Itu kisah akhbar. Dua dekad dulu era yang sangat mewah. Kini semuanya sedang mengalami zaman rebah.

Sepuluh tahun kemudian, pada 2004, syarikat konsultasi teknologi penyiaran yang berpangkalan di Eropah, tiba ke Singapura dan Kuala Lumpur.

Syarikat ini memperkenalkan teknologi migrasi digital dengan rombakan operasi yang besar. Ia membabitkan penjimatan kos bagi sumber manusia dan operasi masa depan. Selebihnya sebagai persediaan untuk stesen TV di negara ini beralih daripada analog ke digital.

Kehadiran konsultan Eropah ini menjadi titik penting usaha melobi yang serius untuk menyedarkan operator TV mengenai migrasi analog ke digital. Malah, dengan pesan, kos migrasi akan lebih tinggi pada masa depan.

Pada 2004, dengan kos sekitar RM20 juta, studio akan dialih ke konsep bebas set. Sistem kamera digital yang murah tetapi multi dimensi serta set komputer suntingan audio visual harus diperkenalkan. Ini lobi syarikat Eropah itu.

Namun, ketika itu siapa peduli?

Janaan iklan TV mencapai RM1 bilion setahun. Operator mana yang mahu pedulikan mengenai idea perubahan. Apa lagi ketika perniagaan sedang mewah.

Syarikat Eropah ini gagal mendapat sebarang kontrak di Malaysia. Namun, semua stesen di Singapura termasuk platform saluran sukan bagi siaran rantau Asia memilih saranan syarikat itu. Migrasi digital berlaku mendadak di sektor penyiaran Singapura.

Kini nasib akhbar yang 25 tahun lalu mendengar idea mengenai tablet dan disket dalam akhbar masa depan, serta stesen TV yang menolak peralihan digital ini, menerima hakikat yang getir.

Bahawa, kejatuhan pendapatan iklan dan Bahawa, kejatuhan pendapatan iklan dan meningkatnya kos operasi kerana teknologi lapuk, menjadi punca kemeruduman operasi.

Kesedaran yang lewat kerana keselesaan masa lalu. Itu hakikat yang mesti diterima.

Selebihnya kelewatan juga berlaku kerana keengganan penjawat untuk menerima cabaran baharu. Penentangan terhadap migrasi dikaitkan dengan kebimbangan mengenai pengurangan penjawat.

Malah, lebih teruk lagi – penjawat dan kesatuan sekerja menentang pembaharuan kerana ketakutan terhadap penguasaan teknologi masa depan. Petualangan yang naif kerana tiada kesedaran jangka panjang.

Akhirnya, perniagaan merudum dua dekad kemudian. Penjawat tetap kehilangan kerja dan lebih teruk apabila tidak berupaya meneruskan khidmat di mana-mana. Semuanya kerana kepakaran yang ada sudah dianggap lapuk dan tidak berdaya maju. – 22 Mei, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen