JOKHA Alharti semalam menjadi penulis Arab pertama menang anugerah berprestij Man Booker International untuk novelnya bertajuk “Celestial Bodies” yang mengisahkan transformasi negaranya, Oman selepas penjajahan.
“Saya teruja dengan tingkap sudah dibuka untuk budaya Arab yang kaya,” kata Alharti, 40, kepada wartawan selepas majlis penganugerahan di Roundhouse, London.
Alharti adalah penulis kepada dua koleksi cerpen, sebuah buku kanak-kanak dan tiga novel berbahasa Arab.
Beliau belajar puisi klasik Arab di Universiti Edinburgh dan mengajar di Universiti Sultan Qaboos di Muscat.
“Oman memberi inspirasi tetapi saya fikir pembaca antarabangsa boleh berhubung dengan nilai sejagat dalam novel ini- kebebasan dan cinta,” katanya.
Anugerah berprestij menawarkan ganjaran 50,000 pound (AS$64,000) itu meraikan karya terjemahan seluruh dunia, membahagikan ganjaran seimbang antara penulis dan penterjemah.
Penterjemah karya Alharti ialah ahli akademik AS Marilyn Booth yang mengajar kesusasteraan Arab di Universiti Oxford.
Hakim berpandangan yang Celestial Bodies adalah “karya kaya imigansi, berhubungan dan menawarkan puitis kepada masyarakat dalam perubahan dan ke dalam kehidupan yang selama ini terlindung.”
Ia bertempat di sebuah perkampungan al-Awafi di Oman, dengan kisah tiga saudara perempuan: Mayya, yang berkahwin dengan Abdallah selepas patah hati; Asma yang berkahwin kerana rasa bertanggungjawab dan Khawla yang menunggu kekasihnya yang berhijrah ke Kanada.
Ketiga-tiga watak tersebut menyaksikan transformasi Oman daripada masyarakat perhambaan, tradisional kepada masyarakat moden pasca penjajahan.
“Ia menyentuh soal perhambaan. Saya fikir sastera adalah platform terbaik untuk dialong mengenainya,” kata Alharti.
Juri menyifatkannya sebagai “struktur elegan dan bertaut, menceritakan kisah Oman menerusi kanta kehilangan dan percintaan sebuah keluarga.”
Ketua Juri Bettany Hughes berkata novel itu menggambarkan “kesenian halus dan aspek mengganggu sejarah dikongsi bersama kita semua”.
“Gayanya adalah metafor kepada subjek, dalam diam menolak klise perkauman, perhambaan dan gender,” katanya.
Alharti berdepan cabaran lima karya penulis senarai pendek lain: Annie Ernaux (Perancis), Marion Poschmann (Jerman), Olga Tokarczuk (Poland), Juan Gabriel Vasquez (Colombia) dan Alia Trabucco Zeran dari Chile. – AFP, 22 Mei, 2019.
Komen