PELAKON AS Elle Fanning, ahli barisan juri Pesta Filem Cannes tahun ini, berkata beliau pengsan pada majlis gala minggu ini, menyalahkan “baju ketat” dipakainya ketika “datang bulan”.
Fanning yang mempunyai jadual padat menonton filem dan majlis sosial pada majlis filem terkenal di adakan di Riviera Perancis itu menerusi Instagramnya Isnin lalu berkata: “Oops, pengsan sekejap menggayakan baju Prada 1950-an tetapi semuanya baik-baik sahaja.”
Beliau memuat naik sekeping swafoto dengan tanda pagar #dresstootight dan #timeofthemonth.
Pelakon British Colin Firth yang hadir majlis sama memberikan bantuan kepada Fanning sehingga bintang filem Beguiled itu diberikan rawatan perubatan, lapor Variety.
Fanning adalah salah seorang daripada sembilan nama besar industri perfileman yang menjadi juri pesta filem antara yang paling berpengaruh di dunia itu.
Mereka akan mengumumkan pemenang untuk Palme d’Or untuk filem terbaik Sabtu ini, memilih daripada 21 pesaing termasuk filem terbaru Quentin Tarantino, Once Upon a Time in Hollywood yang mula ditayangkan Selasa lalu. – AFP, 22 Mei, 2019.
Komen