Nike batal jualan kasut dituduh langgar hak intelek Orang Asli


Nike Air Force 1 ‘Puerto Rico’ 2019 dengan harga jualan AS$100 sepatutnya dilancarkan 6 Jun depan. – Gambar Facebook, 22 Mei, 2019.

GERGASI pakaian sukan AS, Nike semalam mengumumkan penarikan balik penjualan kasut terbarunya selepas Orang Asli Panama, Guna menuduhnya “mencetak rompak” rekaan tradisional yang dilindungi.

Peguam untuk Guna berkata model kasut sukan Air Force 1 menggunakan rekaan tradisi mereka, “mola” tanpa kebenaran seterusnya melanggar hak harta intelek mereka.

Mereka menuntut syarikat itu membatalkan rancangan pelancaran kasut yang dijual pada harga AS$100 sepasang itu yang dijadualkan berlaku pada 6 Jun depan.

Jurucakap Nike memberitahu AFP yang: “Kami memohon maaf kerana salah perwakilan dalam reka bentuk Nike Air Force 1 ‘Puerto Rico’ 2019. Kerana itu, produk tidak lagi akan dilancarkan.”

Peguam Guna, Aresio Valiente memberitahu AFP yang komuniti tersebut bukan sekadar meminta pembatalan produk, tetapi ganti rugi kerana rekaan kasut tersebut menggunakan rekaan “yang merupakan sebahagian kerohanian orang Guna.”

“Jadi syarikat perlu membayar ganti rugi kerana ia adalah salinan haram rekaan kami,” kata Valiente, menambah yang mereka sudah menghantar notis bantahan kepada Nike.

Laman web industri Sneaker News melaporkan yang Nike berkata rekaan itu adalah tribut kepada Puerto Rico dan menampilkan rekaan menggambarkan katak orang asal Coqui.

Bagaimanapun, Ketua Guna Belisario Lopez memberitahu sidang media di Bandar Panama: “ Mereka perlu mengakui yang mola terdapat di kasut Nike berasal dari orang Guna.”

Lopez berkata kes orang Guna terhadap Nike “bukan satu-satunya di dunia. Ribuan rekaan dan pengetahuan turun temurun Orang Asli dicetak rompak oleh syarikat multinasional.”

Orang Guna tinggal di Panama dan Colombia. Kebanyakan mereka menetap di Kuna Yala, juga dikenali sebagai Pulau San Blas di perairan Panama. Aktivis alam sekitar berkata masyarakat itu kini berdepan dengan krisis pemanasan global kerana peningkatan air laut.

“Mola seperti bendera untuk Guna. Terdapat identiti budaya di sekitar mola. Ia unsur identiti yang kuat,” kata Monica Martinez, profesor antropologi sosial di Universiti Barcelona yang mengkaji Guna selama hampir dua dekad.

Semakin banyak kes di seluruh dunia apabila Orang Asli melaporkan hak intelek mereka dirompak pereka atau syarikat besar, kata Martinez lagi.

“Menariknya di sini ada perbahasan dalam Organisasi Harta Intelek Dunia dan ada tuntutan Orang Asli supaya ada tindakan dilakukan. Tetapi, tiada apa yang berlaku.” – AFP, 22 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen