PRESIDEN AS Donald Trump semalam mengumumkan beliau mencalonkan bekas duta dan ahli perniagaan Arizona untuk menerajui tentera udara negara itu.
Barbara Barrett, 68, berkhidmat sebagai duta AS ke Finland daripada 2008 sehingga 2009 semasa pentadbiran George W.Bush. Beliau juga mempengerusikan pusat penyelidikan dan pembangunan aeronautik, Perbadanan Aerospace sejak 2017.
“Beliau akan jadi setiausaha menakjubkan!” kata Trump di Twitter.
Seorang bekas peguam dan juruterbang ujian, Barrett juga adalah ahli lembaga pengarah Perbadanan Rand, sebuah kumpulan pemikir yang mengkaji dan menganalisis pasukan bersenjata AS.
Beliau dan suaminya, Craig, bekas CEO gergasi teknologi Amerika Intel, adalah penyumbang besar Republikan. Barrett bertanding untuk gabenor Arizona atas tiket GOP pada 1994, wanita pertama berbuat demikian tetapi gagal mendapat pencalonan partinya.
Sekiranya disahkan, Barrett akan jadi wanita kedua selepas Heather Wilson yang menjadi setiausaha tentera udara.
Nama Wilson muncul sebagai bakal pengganti Setiausaha Pertahanan Jim Mattis yang berundur Disember lalu selepas perbezaan pendapat dengan Trump dalam pelbagai isu termasuk penglibatan tentera di Syria.
Wilson berundur daripada jawatan itu pada Mac lalu, pengunduran tertinggi di Pentagon sejak Mattis, selepas sah Setiausaha Pertahanan sementara Patrick Shanahan kekal menjawat jawatan itu. – AFP, 22 Mei, 2019.
Komen