Enggan terima kekalahan, penyokong Prabowo turun ke jalan


Kayu dibakar di luar pejabat badan pemantau pilihan raya dekat tengah Jakarta selepas tunjuk perasaan mula berlaku tidak lama selepas tengah malam dan berlarutan beberapa jam sehingga awal pagi tadi. – Gambar AFP, 22 Mei, 2019.

POLIS Indonesia malam tadi melepaskan gas pemedih mata untuk membubarkan tunjuk perasaan penyokong bekas calon presiden Prabowo Subianto, selepas Joko Widodo disahkan menang dan kekal presiden sehingga 2024, lapor media di republik itu.

Tunjuk perasaan diadakan di luar pejabat badan pemantau pilihan raya dekat tengah Jakarta tidak lama selepas tengah malam dan berlarutan beberapa jam sehingga awal pagi tadi.

Kekacauan juga berlaku di beberapa tempat di ibu kota itu, lapor CNN Indonesia.

Semalam, suruhanjaya pilihan raya Indonesia mengumumkan Jokowi yang bergandingan dengan tokoh ulama Ma’aruf Amin terpilih sekali lagi sebagai presiden republik untuk penggal kedua.

Mereka, yang mengumpulkan 55.5% undi atau lebih 85 juta daripada 154 juta undi, mengalahkan Prabowo dan regunya Sandiaga Uno dalam pemilihan yang berlangsung 17 April lalu.

Pasangan Jokowi dan Ma’aruf menang di 21 daripada 34 daerah, lapor The Jakarta Globe.

CNN Indonesia melaporkan sehingga hampir pukul 3 pagi waktu tempatan (4 pagi waktu Malaysia), penunjuk perasaan terus bertahan di Jalan Wahid Hasyim dan di Jalan Sabang, di Jakarta Pusat.

Penyokong Prabowo tidak mempedulikan arahan polis supaya bersurai sebaliknya membalas dengan bom api dan mercun.

Polis menyuraikan penunjuk perasaan yang membantah kemenenangan Jokowi pada pilihan raya presiden Indonesia malam tadi. – Gambar AFP, 22 Mei, 2019.

Media semalam melaporkan Prabowo, bekas jeneral tentera semasa era bekas presiden Suharto, enggan menerima kekalahan itu. Beliau juga menggesa penyokongnya untuk menunjukkan bantahan terhadap keputusan pilihan raya yang didakwanya tercemar dengan penipuan, lapor CNN Indonesia.

Beliau dipetik berkata, hak demokrasi rakyat sedang dirampas dan diperkosa.

Pegawai dalam pasukan kempen Prabowo pula tidak mahu menandatangani dan mengesahkan keputusan rasmi yang dikeluarkan oleh suruhanjaya pilihan raya, sementara ketua peguam kempennya memberitahu wartawan, mereka akan mencabar keputusan di Mahkamah Perlembagaan, lapor Channel News Asia.

Badan pengawas pilihan raya bagaimanapun menafikan dakwaan adanya penipuan sistematik dalam pemilihan sebulan yang lalu. Pemantau pilihan raya juga mengesahkan pemilihan berlangsung dengan bebas dan adil.

Penunjuk perasaan sempat bersolat di luar pejabat badan pemantau pilihan raya dekat tengah Jakarta sebelum menunjuk perasaan membantah kekalahan Probowo. – Gambar AFP, 22 Mei, 2019.

Dalam pilihan raya presiden pada 2014, Jokowi terpilih juga mengalahkan Prabowo. Semasa kalah lima tahun lalu, Prabowo juga mendakwa pilihan raya itu ditipu.

Jokowi, bekas datuk bandar Surakarta dan kemudian gabenor Jakarta, adalah pemimpin pertama bukan dari kelompok elit atau tentera yang terpilih sebagai presiden Indonesia. – Agensi, 21 Mei 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen